1MDB: 34 kumpulan sivil serah memorandum tuntut Ahli Parlimen percepat siasatan
PUTRAJAYA, Khamis – Satu gabungan 34 kumpulan masyarakat sivil, hari ini menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, menuntut Ahli Parlimen mempercepatkan siasatan terhadap isu kontroversi membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Jurucakap Gabungan Tangkap MO1, Anis Syafiqah Md Yusof berkata, gabungan itu menyerahkan memorandum berikutan kebimbangan mengenai perkembangan terkini saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).
Memorandum itu menggesa Ahli Parlimen menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai 1MDB, mengkelaskan semula prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1MDB dan membolehkan siasatan penuh serta tanpa halangan terhadap pihak-pihak yang berkait dalam isu ini.
Lima anggota gabungan itu diwakili, Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia, Datuk Ambiga Sreenevasan; Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah; Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy; Pakar Perubatan Malaysia untuk wakil Tanggungjawab Sosial, Dr Roy McCoy dan wakil Oriental Hearts and Minds Institut, K J John menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.
Ambiga berkata, Low telah bersetuju untuk membangkitkan isu 1MDB di mesyuarat Parlimen yang akan datang.
“Kami akan menghantar memorandum ini kepada semua menteri dan Ahli Parlimen. Kami meminta Ahli Parlimen untuk mematuhi sumpah jawatan dan memainkan peranan mereka untuk membawa kita keluar daripada masalah ini,” katanya.
Pada 20 Julai lalu, DoJ memfailkan dua tindakan undang-undang untuk merampas aset yang mana dikatakan telah dibeli menggunakan dana yang diseleweng daripada 1MDB.
Dalam writ saman bagi merampas aset individu dan syarikat difailkan di Los Angeles, DoJ berkata, sejak 2009 sehingga 2015, lebih daripada AS$3.5 bilion (RM14.16 bilion) dana milik 1MDB diseleweng oleh pegawai-pegawai tinggi dan sekutu mereka.
The post 1MDB: 34 kumpulan sivil serah memorandum tuntut Ahli Parlimen percepat siasatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan