Buang ego kalau benar sayangkan parti, pesan veteran Umno Terengganu
KEMAMAN, Ahad – “Kalau benar sayangkan parti…bertenang, cukup-cukuplah menyalahkan sesama sendiri, selesaikan secara baik, ketepikan ego masing-masing.”
Ia pesanan beberapa veteran Umno kepada Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berhubung kemelut terbaharu yang melanda politik Terengganu.
Ketika ditemui Bernama, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali berpendapat perbincangan merupakan penyelesaian terbaik, malah beliau berharap Ahmad memberi peluang kepada Ahmad Razif mentadbir negeri mengikut cara tersendiri dengan dibantu barisan EXCO dan Umno negeri.
“Bantulah beliau (Ahmad Razif) mentadbir dengan baik. Jika beliau tidak mendapat bantuan daripada lain-lain, takkan berjaya. Beliau baru sahaja memegang pentadbiran selama dua tahun. Tolonglah beliau…ini tiba-tiba baru sahaja ambil alih dah diminta itu ini,” kata Abu Bakar, yang menceburi bidang politik sejak 1970 dan menjadi Adun Kemasik bermula 1986 selama lima penggal.
“Masing-masing diberi peluang mentadbir. Setelah tamat giliran kita, berilah peluang untuk pengganti melaksanakan tanggungjawab pula. Andai kita asyik mecari silap dan mengheret persengketaan, siapa yang rugi?,” tegasnya.
Bekas Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid yang mempunyai pendapat sama, berkata langkah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah mudah kerana ia perlu melibatkan Istana dan imej kepimpinan parti.
“Seboleh-bolehnya biarlah sokongan padu terus diberi kepada Ahmad Razif dan inilah masa untuk bersatu padu bukannya mencari salah sesiapa,” kata Rosol yang dilantik sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu.
Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Peradaban Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hamdan Aziz bersetuju dengan pandangan Ahmad Razif beberapa hari lepas bahawa ibu segala masalah adalah bilangan majoriti Barisan Nasional (BN) yang terlalu kecil.
Pada pilihan raya umum lepas, BN Terengganu hanya memenangi 17 kerusi manakala pembangkang pula 15 kerusi iaitu PAS 14 dan satu lagi dimenangi PKR.
“Jika seorang anggota BN keluar parti dan memihak kepada pembangkang, bilangan kerusi akan menjadi seri iaitu 16-16 dan memungkinkan pembangkang untuk menjadi pemerintah,” katanya.
Hamdan berkata, beliau bagaimanapun yakin BN tidak akan mengambil risiko dengan mengadakan pilihan raya negeri dalam kedudukan politiknya yang tidak begitu stabil.
Buat masa sekarang, pemimpin di negeri ini haruslah berlapang dada dan berfikir secara rasional untuk tidak menyalahkan sesama sendiri selain tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh memburukkan lagi keadaan, katanya.
Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang dan peluang kepada Ahmad Razif untuk terus berkhidmat sebagai menteri besar sehinggalah pilihan raya umum akan datang. – Bernama
The post Buang ego kalau benar sayangkan parti, pesan veteran Umno Terengganu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan