“Dia tak kasi, apa kita boleh buat?”
Kau percaya tak?
Allah sentiasa membuka jalan untuk mempersiapkan kita bagi menghadapi hari esok.
Bacalah kalau ingin percaya.
Jumaat, tanggal 15 Julai 2016. Hari yang super sibuk buatku. Dengan tugasan sekolah yang baru sahaja memulakan sesi selepas cuti hari raya, ditambah lagi dengan persiapan beberapa program anjuran NGO Ikatan Muslimin Malaysia yang aku sertai cukup untuk menyebabkan hari tersebut amat melelahkan.
Sebaik bersiap untuk pulang, hari menjadi semakin memenatkan apabila kereta pula gagal dihidupkan. Puncanya tidak lain ialah sikap bertangguh. Kuda perangku ini sebenarnya telah beberapa kali menunjukkan tanda-tanda yang baterinya semakin lemah namun ‘kesabaranku’ terlalu tinggi untuk terus membiarkannya dalam keadaan sebegitu.
Seperti biasa, Kedai Ah Hong menjadi destinasi wajib singgah untuk kali ini. Seorang mekanik muda berumur 20-an yang aku akui kualiti kerjanya sangat bagus. Rajin bersembang meskipun pelat Cinanya itu kadang-kadang amat sukar untuk aku fahami.
Sangat menghormati penduduk setempat dan aku kira seorang tidak terlalu berkira. Pernah beberapa kali keretaku dibaiki kerosakan tanpa sebarang caj atau upah. “ Ini kecil punya hal sajalah abang”. Itu katanya setiap kali beliau tidak mengambil wang setelah selesai kerjanya.
Sememangnya bengkel beliau menjadi popular di kediamanku sejak beberapa tahun ini kerana kejujuran beliau memberi penerangan mengenai kerosakan dan juga pendetailan mengenai alat-alat ganti yang digunakan.. Ya, itupun masih dalam pelat Cinanya yang amat pekat.
“Hong! Angkat bateri yang lapan tahun punya tak payah ganti ada?” seloroh saya sebaik sahaja tiba dibengkelnya.
“Abang! Kalau ada itu macam punya bateri, saya boleh tutup kedai. Nanti lagi 8 tahun baru buka balik”. Jawabnya sambil tersenyum. Isterinya yang sedang sarat mengandung turut sama ketawa mendengar selorohku.
“Hong, ini bila mau dapat baby?” soal saya yang terpandangkan perut isterinya yang semakin besar itu.
“Nanti bulan 9 la abang. Jawabnya sambil mengarahkan pekerjanya mengganti bateri keretaku.
“ Boy ke girl Hong?”soal saya lagi
“ Tengoklah nanti bang. Saya pun tak tahu. Kalau dapat boy saya suka. Dapat perempuan pun saya suka. Ada orang suka pilih mau boy saja. Dia kata nanti besar senang jaga.Tapi abang saya yang tua, kahwin awal sebab sudah ‘accident’ sama dia punya amoi. Anaknya yang paling besar ,lelaki sudah berumur 20 tahun. Sekarang semua sudah lari tinggal dia. Tak jaga juga dia.
Ini semua kita tak tau punyalah. Ada orang tak suka anak perempuan. Susah mau jaga. Tahu perempuan terus mau kasi buang. Dia tak tahu ada orang puluh-puluh tahun kahwin masih tak dapat anak. Habis duit banyak beli ubat untuk bagi ada anak. Bila mengandung sudah tak kisah lelaki ke perempuan semua suka. Dapat boy suka, dapat girl pun suka.
Ada saya punya kawan, sudah 7 bulan pergi scan hospital doctor cakap baby boy. Dia cukup seronok. Sudah beli macam-macam. Lagi 2,3 minggu mau beranak, baby sudah meninggal. Memang la sedih, tapi apa yang boleh kita buat untuk hidupkan semula baby tu.
Sekarang bila isteri saya mengandung, saya fikir ini semua tuhan punya kerja. Kita tak tau macam – mana. Saya seronok. Isteri pun suka. Baru kahwin satu tahun sudah ada anak. Tapi macam-macam boleh jadi. Kadang-kadang kita jaga macam mana pun kalau Dia tak kasi, apa kita boleh buat.”
Saya hanya terkulat-kulat melihat wajah mekanik muda ini. Berisi celotehnya kali ini.
Soal rezeki dan ketentuan tuhan ini adalah perkara asas bagi seorang Muslim. Muslim yang baik itu sentiasa redha dengan rezeki dan ketentuan dari Allah swt. Bukan bermaksud menghentikan usaha, tetapi menyerahkan hati secara total dan bulat-bulat kepada Allah setelah penat berusaha sehabis mungkin.
Tidak ku sangka bahawa tazkirah ringkas malam ini datangnya dari seorang anak muda berbangsa cina.
Keesokan harinya seperti biasa aku meneruskan rutin di sekolah. Namun di hujung waktu persekolahan aku mendapat panggilan telefon dari isteriku.
Dalam sendu isteri memberitahu bahawa doktor tidak dapat mengesan degupan jantung anak kami yang berada di dalam kandungan.
Isteriku keguguran!
Dan sungguh kawan!
Allah telah mempersiapkanku.
Perkara pertama yang datang dalam hatiku pada waktu itu tidak lain dan tidak bukan adalah nasihat ringkas dari Ah Hong yang mengingatkan aku hakikat bertuhan kepada Allah swt.
Asmadi Abdul Samad
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan