Fenomena badut Guan Eng ‘serang’ Pulau Pinang
GEORGE TOWN, Selasa – Selepas karikatur badut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tersebar dahulu, kini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula menghadapi nasib yang sama.
Menurut portal Umno Online, beberapa kawasan di Pulau Pinang kini ‘diserang’ dengan poster karikatur badut wajah Setiausaha Agung DAP itu.
Ia dilihat ditampal di tiang lampu dan bangunan premis perniagaan termasuk di persimpangan jalan.
Poster berkenaan turut diletakkan di perhentian bas dengan tulisan: “BERSIH 5.0. CLEAN PENANG UP FROM BUNGALOW CLOWN (BERSIH 5.0. BERSIHKAN PENANG DARIPADA BADUT BANGLO)”.
Menerusi temubual bersama penduduk sekitar, poster itu dikatakan sudah ditampal di tempat-tempat awam kira-kira hampir sebulan yang lalu.
Yusri Ramli dari Kampung Sungai Burong berkata,: “Ini mungkin luahan perasaan rakyat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung isu rasuah banglo yang sedang dihadapinya. Mungkin gambar badut ini bermaksud sinis tentang jawapan berbelit-belit yang diberikan oleh Guan Eng ketika isu pembelian banglo itu terbongkar,” katanya.
Sementara itu, Muhd Alif Firdaus, 29, pula berkata kemungkinan ada pihak yang tidak puas hati dengan pentadbiran Ketua Menteri terutama dalam kes rasuah banglo yang membabitkan beliau baru-baru ini.
“Ketika mula-mula dulu kecoh juga di kalangan rakan-rakan kami tentang poster ini.
“Bagi kami ini cerita politiklah. Kalau kita biasa buat pada orang lain, orang lain juga akan buat pada kita. Kalau kita biasa hina orang, orang juga satu hari nanti akan dihina orang juga.
“Macam sebelum ini, pembangkang suka buat gambar poster badut muka Perdana Menteri, tetapi apa yang mereka lakukan itu hari ini terjadi kepada mereka pula,” katanya.
Pada 30 Jun lalu, Guan Eng menghadapi dua tuduhan rasuah susulan pengezonan semula sebidang tanah di Balik Pulau daripada tanah pertanian kepada kediaman untuk memberi manfaat kepada syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd pada 26 Julai 2015.
Dia juga didakwa membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn berharga RM2.8 juta yang didakwa di bawah nilai pasaran, daripada ahli perniagaan Phang Li Koon. Nilai harta ketika itu RM4.27 juta.
Dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pendakwaan yang dibuat sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
The post Fenomena badut Guan Eng ‘serang’ Pulau Pinang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan