Guru pusat asuhan, prasekolah wajib ada diploma mulai 2020
KOTA BHARU, Jumaat – Guru yang mengajar di pusat asuhan kanak-kanak dan prasekolah akan diwajibkan memiliki kelulusan sekurang-kurangnya diploma mulai tahun 2020, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata, peraturan tersebut akan melibatkan semua pusat asuhan dan prasekolah di bawah agensi kerajaan dan swasta.
“Tempoh berkenaan diberikan bagi membolehkan guru sedia ada yang belum memiliki kelulusan peringkat diploma atau mereka yang berminat untuk mendapatkannya (diploma pendidikan awal kanak-kanak),” katanya di sini, hari ini.
Mahdzir berkata, setakat ini peraturan tersebut dilaksanakan di peringkat prasekolah di bawah kementerian dan agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional.
“Kita hendak selaras bukan sahaja dari segi kurikulum tetapi dari segi profesionalisme perguruan kerana pendidikan awal iaitu pada usia seawal tiga tahun adalah amat penting bagi seseorang kanak-kanak,” katanya. – Bernama
The post Guru pusat asuhan, prasekolah wajib ada diploma mulai 2020 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan