Jerebu bertambah baik, tiada kawasan rekod bacaan IPU tidak sihat
KUALA LUMPUR, Selasa – Kualiti udara di seluruh negara semakin bertambah baik apabila tiada kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks PencemaranUdara (IPU) tidak sihat setakat pukul 4 petang hari ini.
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 23 kawasan merekodkan IPU sederhana dengan bacaan tertinggi direkodkan di Nilai iaitu 97 berbanding 101 pada pukul 3 petang tadi.
Kawasan yang lain mencatatkan IPU sederhana adalah Banting, Selangor (88), Putrajaya (86), Shah Alam, Selangor (84), Tanjung Malim, Perak (81), Batu Muda dan Cheras di Wilayah Persekutuan masing-masing mencatatkan 77. Pelabuhan Klang, Selangor pula merekodkan bacaan IPU 76, diikuti Petaling Jaya (72), Miri, Sarawak (58) manakala Paka, Terengganu dan Jerantut, Pahang masing-masing merekodkan bacaan 57.
Ia berbeza jika dibandingkan pada pagi ini apabila empat kawasan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat pada pukul 9 pagi tadi.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, bahaya.
Untuk IPU, orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my. – Bernama
The post Jerebu bertambah baik, tiada kawasan rekod bacaan IPU tidak sihat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan