Jerebu: Indonesia isytihar darurat
JAKARTA, Sabtu – Indonesia mengisytiharkan perintah darurat di seluruh negara berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk berpunca daripada pembakaran hutan dan tanah yang berleluasa di beberapa wilayah.
Agensi Berita Vietnam (VNA) yang memetik kenyataan Menteri Perhutanan dan Alam Sekitar, Siti Nurbaya Bakar berhubung perintah itu berkata, pengumuman itu dibuat selepas beliau tersebut melawat Tanah Laut di Kalimantan Selatan kelmarin.
Menurut Siti Nurbaya, pemantauan berkala dan maklum balas yang cepat berjaya mengurangkan jumlah kebakaran di Jambi dan Kalimantan Barat kepada 70 hingga 90 peratus awal tahun ini.
Bagaimanapun katanya, jumlah kawasan yang terbakar bertambah antara bulan Julai hingga bulan ini khususnya di wilayah Riau dan Kalimantan Barat.
Agensi Klimatologi, Geofizik dan Meteorologi Indonesia pula memberitahu, pertambahan kawasan kebakaran itu berpunca daripada musim panas dan kering yang panjang di Sumatera dan kawasan sekitarnya.
Bagaimanapun, agensi itu menjangkakan bahawa perubahan iklim tersebut akan berakhir pada pertengahan September ini.
Dalam pada itu, kira-kira 60 peratus daripada 700 kebakaran yang dikesan melalui satelit di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia dipercayai berlaku luar dari kawasan konsesi yang tidak diuruskan oleh firma perladangan negara itu.
Jakarta Post melaporkan, data itu didedahkan oleh agensi yang bertanggungjawab dalam memantau kejadian kebakaran hutan iaitu Global Forest Watch (GFW).
Menurut Ketua Bahagian Pengumpulan Data dan Maklumat di Agensi Pencegahan Bencana Kebangsaan (BNPB) Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho, kebanyakan kebakaran dicetuskan oleh individu berbanding syarikat.
“Seperti yang kita boleh lihat daripada peta satelit, kebakaran ini berlaku di luar kawasan perladangan.
“Jadi, memang jelas sekali mereka membakar kawasan tanah dan hutan ini untuk membuka kawasan perladangan baharu,” kata Sutopo. – Bernama
The post Jerebu: Indonesia isytihar darurat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan