Konspirasi guling Najib hanya andaian, polis hentikan siasatan: KPN

kpn

BANGI, Selasa – Polis telah memberhentikan siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang mendakwa wujud konspirasi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah merakamkan kenyataan Khairul dan mendapati bahawa laporan yang dibuatnya adalah berdasarkan ‘andaian’.

“Dia tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti untuk menyokong apa yang didakwanya dalam laporan.

“Jadi, PDRM tidak berhajat untuk meneruskan siasatan, kita telah memberhentikan siasatan,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Khalid berkata, polis tidak akan menyiasat Khairul kerana membuat laporan palsu sebaliknya menasihatkan beliau supaya tidak mengulanginya jika tiada fakta atau bukti.

“Tidak, dia mungkin baca laporan dari akhbar, dan dia mendengar cerita, dia ada sebab untuk buat laporan polis.

“Tetapi apabila kita temubual dia, kita mendapati apa juga yang dituduhnya itu cuma berdasarkan cakap dengar dan juga apa yang dia baca, jadi andaian kita tak boleh teruskan,” katanya.

Malah katanya, polis juga tidak memanggil ketiga-tiga individu, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk merakamkan kenyataan.

“Tidak, kita tidak mahu membuang masa memanggil mereka apabila tidak ada asas untuk berbuat demikian,” katanya.

Sebelum ini, satu laporan polis telah dibuat oleh Khairul Azwan di Balai Polis Dang Wangi berikutan mendakwa tiga individu tersebut dipercayai terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan Malaysia.

Dalam laporan itu, tiga individu itu didakwa telah memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi luar termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Khairul menggesa pihak polis untuk menyiasat perkara itu dengan teliti.

Beliau turut mendakwa bahawa dokumen-dokumen palsu telah dikemukakan dan maklumat telah dimanipulasi untuk memenuhi agenda mereka.

The post Konspirasi guling Najib hanya andaian, polis hentikan siasatan: KPN appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?