Lembu diimport, babi pula dieksport: Ridhuan Tee
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Penceramah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah melahirkan rasa kesal apabila Malaysia kini lebih dikenali sebagai negara pengeksport babi, bukannya hasil pertanian yang lain.
Beliau berkata, Allah menciptakan bumi ini sangat subur yang mana apa sahaja tanaman yang ditanam, pasti akan subur.
“Sawit, kelapa, getah, kopi, koko dan kurma misalnya, bukan tanaman asal di sini, tetapi dari negara lain. Campak sahaja di bumi bertuah ini, menjadi sokmo. Hasil bumi, laut dan langit semua kita ada, sehingga melimpah ruah. Tetapi tidak pernah cukup. Ini tidak termasuk sumber minyak yang biasanya kedapatan di negara Arab.
“Jadi, persoalannya, kenapa kita masih mengimport? Bukan mengeksport? Kita cuma bangga menjadi pengeksport babi, bukan hasil tani yang lain?
“Sebagai orang Islam saya amat malu apabila Malaysia lebih terkenal sebagai pengeksport babi, sedangkan permintaan dalaman tidak banyak berbanding dengan lembu, kambing dan ayam,” katanya dalam tulisan terbaru bertajuk ‘Lembu import, babi eksport’ hari ini.
Dalam pada itu mengulas lanjut mengenai hasil pertanian dalam negara Ridhuan Tee mempersoalkan tindakan kerajaan apabila dasar yang dibuat selama ini tidak menunjukkan hasil.
“Ke manakah perginya dasar yang sangat baik seperti Dasar Pertanian Negara dan Buku Hijau yang mahu meningkatkan hasil tani dan daya saing? Apakah kita semua lupa? Kedua dasar ini saban tahun dibincangkan tetapi tidak ke mana?
“Saya masih ingat, pada tahun 2006, kempen ini telah dihidupkan semula. Tiga komponen utama difokuskan iaitu Tanaman (bercucuk tanam), Ternakan dan Akuakultur.
“Tujuannya untuk meringankan beban kewangan rakyat akibat kesan kenaikan harga barangan makanan dan kesan kenaikan kadar inflasi. Pada masa sama ia dapat mewujudkan kesedaran dan menggalakkan rakyat mengeluarkan sendiri makanan segar, berkhasiat dan selamat.
“Apa hasilnya? Bidang pertanian yang sepatutnya menjadi bidang kepakaran kita sudah jauh ketinggalan berbanding dengan Thailand dan negara lain,” soalnya.
Sementara itu mengulas mengenai pokok ketum yang berkemungkinan ditanam secara komersial untuk dipasarkan ke luar negara, Ridhuan Tee berkata idea yang dikemukakan amat malang sekali.
“Apakah ketum boleh mengenyangkan perut? Atau meramaikan lagi penagih dadah yang rata-ratanya orang Melayu?
“Fokuslah kepada hasil pertanian yang boleh mengenyangkan perut dan bukan sebaliknya. Saya tidak boleh bayangkan jika suatu masa nanti negara kita dikenakan sekatan ekonomi oleh kuasa besar, apakah kita bersedia atau mati kelaparan?
“Negara pertanian seperti China sejak dahulu hingga sekarang, tidak pernah tergugat, meskipun pernah mengamalkan dasar tutup pintu dan dikena sekatan ekonomi suatu ketika dahulu. Kenapa? Mereka tidak bergantung kepada hasil import,” katanya.
The post Lembu diimport, babi pula dieksport: Ridhuan Tee appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan