Luluh hati ayah saat tahu anaknya seorang perokok
BANGI, Isnin – Setiap insan bergelar bapa sanggup bersusah payah demi menunaikan tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak-anaknya.
Segala permintaan anak akan ditunaikan dengan harapan si anak mendengar cakap dan merealisasikan impian ayah kepadanya.
Bagaimanapun, kisah yang dikongsikan oleh seorang pegawai perubatan, yang juga aktivis I-Medik, Dr Basyir Qamaruzaman, menceritakan luluhnya hati seorang ayah saat dia mengetahui anaknya selama ini berbohong apabila mengatakan tidak merokok.
Tembelang itu pecah beberapa ketika sebelum pembedahan dijalankan di dewan bedah. Baca kisah di bawah.
Nota Seorang Abi
Semalam saya oncall >24 jam di dewan bedah. Saya mulakan kerja saya dengan memanggil satu kes acute appendicitis yang telah bertangguh sejak 2 hari. Pesakit lelaki berumur 16 tahun. Di dewan bedah pun kadangkala ada drama2 realiti kehidupan. Dengan pengalaman saya bekerja beberapa tahun ni saya dah biasa dah.
Setibanya pesakit di dewan bedah bersama bapanya, saya mula bertanyakan keadaan adik tadi pada bapanya. Saya menerangkan padanya tentang risiko dan kesan sampingan dari bius penuh yang akan diberikan pada anaknya.
Tiba pada soalan ‘favourite’ saya pada bapanya, “Anak encik merokok tak?” Si bapa berkali-kali menafikan dan menegaskan bahawa anaknya masih sekolah dan tidak merokok sama sekali.
“Dr, adik ni merokok malam tadi kat wad pkl 11.” Staff nurse yang sedang menerima kes adik ini memaklumkan pada saya yang sedang berbicara dengan bapanya. Si bapa terdengar dan sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya.
Saya mendekati adik tadi dan meminta kepastian darinya. Pada mulanya adik ini juga menafikan, mungkin takut tembelang pecah di hadapan bapanya. Saya maklumkan padanya risiko yang tinggi untuk diberi bius penuh jika dia baru sahaja merokok beberapa jam yang lalu.
Si anak lalu akur dan mengaku di hadapan bapanya bahawa dia telah merokok di dalam tandas wad malam tadi. Takut mungkin dengan gertakan saya. Saya melihat reaksi si bapa. Terdiam seribu bahasa. Inilah drama-drama realiti kehidupan yang saya sudah biasa saksikan.
Saya mengarahkan supaya adik ini dihantar semula ke wad dan pembedahan ditangguhkan sementara. Sangkaan saya pasti si bapa akan memarahi anaknya di wad nanti. “Habislah pecah apendiks adik tu kat wad nanti, Dr” seloroh staff nurse saya.
Namun saya perhatikan si bapa pergi ke koridor bersebelahan dewan bedah. Melalui tingkap dewan bedah, jelas saya melihat kekecewaan di wajah si bapa. Dia merenung jauh ke luar, air mata mengalir perlahan. Wajahnya tertunduk malu. Ikutkan hati saya mahu mendekatinya namun apakan daya tugasan yang bertimbun menanti saya.
Drama ini membuatkan saya terfikir dalam. Betapa besarnya cabaran dalam mendidik anak di zaman ini. Rasanya seolah kita sudah mengenali anak-anak kita namun rupanya sebaliknya. Pengaruh media, rakan sebaya, persekitaran yang tidak baik sangat kuat dan mencabar bagi mereka di zaman ini.
Fikiran saya terus melayang mengingati anak saya, Nu’man. Walaupun dia masih kecil, saya cuba untuk menjadi teman rapatnya sejak awal. Kadangkala bila kita penat seharian bekerja bila pulang ke rumah pasti penat dan hendak berehat. Anak kita pula ajak bermain selepas beberapa ketika tidak berjumpa. Di sini lah pentingnya untuk kita cuba luangkan masa untuk mereka dalam kesibukan yang ada.
Doakan saya menjadi abi yang hebat dan teman yang rapat untuk Nu’man.
The post Luluh hati ayah saat tahu anaknya seorang perokok appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan