PAS mampu rampas kembali Terengganu jika ada PRN
SHAH ALAM, Rabu – PAS yakin dapat merampas kembali Terengganu jika Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut diadakan di negeri itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, keyakinan itu berikutan krisis berpanjangan antara Menteri Besar, Ahmad Razif dan bekas menteri besarnya, Datuk Seri Ahmad Said.
Bagaimanapun, meskipun beliau yakin akan menang, segala keputusan berhubung perkembangan terbaru itu akan diputuskan PAS Pusat.
“Belum lagi (ada perkembangan daripada PAS Pusat). Semestinya sebarang pilihan raya terutamanya di Terengganu dimana UMNO BN lemah dan ada pihak berpecah.
“Jika PAS masuk bertanding, kami ada peluang yang cerah untuk dapat balik kerajaan negeri daripada UMNO BN. Ada peluang yang cerah,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya kakitangan awam Selangor di Dataran Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, PAS tiada masalah untuk meletakkan calon di semua kerusi DUN Terengganu jika benar PRN mengejut negeri itu diadakan.
Ini kerana, katanya, PAS tidak lagi terikat dengan konsensus Pakatan Rakyat dan tidak lagi perlu bertolak ansur untuk meletakkan calon dengan mana-mana parti pembangkang.
“Saya rasa (PAS Pusat) tidak ada masalah (untuk bertanding) sebab kita sentiasa bersedia, dalam politik kita sentiasa bersedia lagipun kita ada setahun lagi sekarang dah tahun ketiga (tempoh PRU13), apabila masuk tahun ketiga parti-parti sudah bersedia,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut tidak menolak berlakunya pertembungan dengan mana-mana parti-parti pembangkang seperti yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar lalu.
“(Mekanisma satu lawan satu?) Itu saya tidak tahu. Perkara ini akan dibincangkan di peringkat pusat dengan mendapat maklum balas daripada negeri masing-masing,” katanya.
The post PAS mampu rampas kembali Terengganu jika ada PRN appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan