PAS sedia sokong Ahmad Said guling MB Terengganu
BANGI, Jumaat – PAS sedia menyokong usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said untuk menggulingkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, lapor Star Online, hari ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berkata, parti itu akan meneruskan usaha berkenaan melalui undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif atau menuntut peletakan jawatannya sebagai menteri besar.
Beliau berkata, Ahmad Said hanya perlu meninggalkan UMNO bagi membolehkan PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
“Kami bersedia untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu,” katanya yang menyelar Ahmad Said kerana membuat ancaman.
Tuan Ibrahim berkata, Ahmad Said tidak boleh hanya buat bising mengenainya.
“Jika Umno akan memecatnya, maka beliau harus meletak jawatan,” katanya sambil menambah bahawa sekutu Ahmad iaitu Adun Ajil, Ghazali Taib juga perlu keluar daripada UMNO.
Daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (BN) mempunyai 17 kerusi, PAS (14) dan PKR (1).
BN akan hilang majoriti, jika Ahmad Said dan Ghazali menjadi wakil rakyat Bebas.
Malam tadi, Ahmad Said memberi kata dua kepada Ahmad Razif supaya meletak jawatan atau beliau akan menyertai ‘pihak lain’ yang akan membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula dilaporkan berkata, tidak ada keperluan untuk PAS membentuk kerajaan campuran dengan UMNO.
“Jika Ahmad meletakkan jawatan, dia akan menjadi Adun bebas dan PAS akan memegang majoriti,” katanya.
Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Adun Paka, Satiful Bahri Mamat turut mencabar Ahmad Said meletak jawatan yang akan membolehkan PAS mengambil alih Terengganu.
Sementara itu, Adun PAS Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut pula tidak menolak kemungkinan Ahmad akan mengemukakan usul tidak percaya, walaupun tidak memberi notis 14 hari kepada Speaker, Datuk Mohd Zubir Embong.
“Kali ini, jika ada usul undi tidak percaya dan Speaker menolaknya, maka kita mungkin mencadangkan undi tidak percaya terhadap Speaker,” katanya.
The post PAS sedia sokong Ahmad Said guling MB Terengganu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan