Pemansuhan diskaun 10 peratus Bumiputera: PAS ingatkan kerajaan Selangor tidak ikut telunjuk bukan Islam
KUALA LUMPUR, Sabtu – PAS mengingatkan kerajaan PKR Selangor untuk tidak terikut-ikut dengan telunjuk orang bukan Islam berhubung isu pemansuhan diskaun 10 peratus untuk bumiputera bagi pembelian pangsapuri di negeri itu.
Ketua Dewan Ulama parti itu, Datuk Mahfodz Mohamad berkata, pemansuhan yang dimaklumkan adalah tidak wajar kerana orang Melayu masih belum mempunyai kedudukan ekonomi yang setaraf dengan kaum lain khususnya di kawasan bandar.
“Sepatutnya kerajaan PKR Selangor jangan cepat mengikut telunjuk orang bukan Islam kerana kebanyakan mereka mampu memiliki rumah meskipun tanpa ada diskaun.
“Walaupun tujuan mereka (kerajaan negeri) baik untuk memberi keadilan kepada semua rakyat tetapi kita bimbang perkara tersebut tidak mampu tercapai selagi ekonomi orang Melayu belum setaraf dengan bangsa lain,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan diskaun 10 peratus untuk bumiputera bagi pembelian pangsapuri perkhidmatan, SOHO dan SOVO di negeri itu akan dimansuhkan bermula 1 September ini.
Azmin berkata, selepas ini diskaun tersebut akan diberikan kepada semua kaum dalam kategori berpendapatan rendah dan sederhana.
Mengulas perkaraitu, Mahfodz berkata, diskaun perumahan kepada bumiputera wajar diteruskan kerana itu adalah cara untuk membantu orang Melayu memiliki kediaman sendiri terutama di kawasan bandar.
“Jika bumiputera sudah kuat dari segi ekonominya, saya setuju untuk memansuhkan diskaun tetapi secara realiti masyarakat bumiputera masih belum setaraf ekonominya.
“Oleh sebab itu, diskaun perumahan perlu dikekalkan supaya golongan bumiputera mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.
The post Pemansuhan diskaun 10 peratus Bumiputera: PAS ingatkan kerajaan Selangor tidak ikut telunjuk bukan Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan