Permohonan pasport diproses pada hari sama
KUALA LUMPUR, Selasa – Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa akan diproses pada hari yang sama.
Walaupun Pasport Malaysia Antarabangsa sedang dalam proses transisi kepada pasport versi baharu dan menghadapi sedikit masalah penghantaran, pihak Jabatan Imigresen sentiasa memastikan agar bekalan pasport tidak terganggu.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh beberapa akhbar tempatan pada 29 Julai lepas bahawa proses permohonan pasport mengambil masa enam bulan dan situasi ini dikatakan berpunca daripada masalah kekurangan bekalan pasport daripada pembekal.
Jabatan Imigresen mengambil serius akan laporan itu yang menyebabkan orang ramai panik dan ekoran laporan tersebut pejabat-pejabat yang mengeluarkan pasport di seluruh negara dibanjiri orang ramai untuk membuat permohonan baharu pasport atau memperbaharuinya.
“Pihak kerajaan dan jabatan ini secara khusus sentiasa melaksanakan usaha yang terbaik dalam memperkasakan perkhidmatan awam, selama ini rekod pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa adalah yang terbaik berbanding negara lain.
“Penyerahan pasport selama satu jam selepas bayaran adalah pertama kali diperkenalkan di dalam dunia. (Pemohon) di negara-negara maju mengambil masa selama dua minggu hingga tiga bulan untuk mendapatkan pasport,” katanya.
Justeru, orang ramai diseru merancang perjalanan dengan bijak dan tidak membuat permohonan pada saat-saat akhir bagi mengelakkan sebarang masalah kepada pemohon sekiranya pasport mereka tidak dapat diproses pada hari yang sama akibat jumlah pemohon yang tinggi di pejabat imigresen di seluruh negara, katanya.
Orang ramai diminta tidak panik di atas isu ini dan memberi ruang dan sokongan kerana kerajaan untuk menanganinya dengan berkesan dan memastikan tahap perkhidmatan imigresen berada dalam keadaan terbaik, kata Mustafar.
Media hari ini melaporkan orang ramai yang berurusan di Jabatan Imigresen Putrajaya di Presint 3, Putrajaya semalam terpaksa menunggu lebih lapan jam kerana jabatan kerajaan itu mengalami masalah teknikal sistem komputer.
Laporan media itu juga berkata masalah yang sama turut dialami di kaunter membuat pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pudu Sentral, UTC Sentul, pejabat Jabatan Imigresen Jalan Tuanku Abdul Halim (dahulu dikenali dengan nama Jalan Duta), Kuala Lumpur dan Jabatan Imigresen Seremban, Negeri Sembilan. – Bernama
The post Permohonan pasport diproses pada hari sama appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan