Saman DoJ Amerika tak babitkan saya, kata Najib
JAKARTA, Jumaat – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, saman oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat baru-baru ini tidak membabitkan beliau, Kerajaan Malaysia atau 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara langsung.
“Saya ingin menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh DoJ baru-baru ini tidak membabitkan saya atau Kerajaan Malaysia atau 1MDB secara langsung.
“Saman itu menamakan lima individu. Ini bukan saman jenayah tetapi adalah saman sivil,” katanya dalam temu bual dengan stesen televisyen Metro TV, hari ini.
Dalam writ saman bagi merampas aset individu dan syarikat difailkan di Los Angeles, DoJ berkata, sejak 2009 sehingga 2015, lebih daripada AS$3.5 bilion (RM14.16 bilion) dana milik 1MDB diseleweng oleh pegawai-pegawai tinggi dan sekutu mereka.
Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah anak kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya – Riza Shahriz Abdul Aziz -; Jho Low; Tan Kim Loong (rakan sekutu Jho Low – pemilik beberapa akaun bank di mana dana 1MDB yang diseleweng dipindahkan) dan pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi serta Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.
Meskipun nama Najib tidak disebut secara langsung di dalam writ saman itu, tetapi ‘pegawai atasan Malaysia’ yang dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1’ adalah Perdana Menteri yang turut memegang satu jawatan yang berkuasa di dalam 1MDB.
Najib yang juga Menteri Kewangan adalah Penasihat Eksekutif 1MDB yang berkuasa membuat keputusan berkaitan komitmen kewangan syarikat itu. – Agensi
The post Saman DoJ Amerika tak babitkan saya, kata Najib appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan