Seimbangkan pengajian al-Quran dan akademik pelajar tahfiz: Raja Muda Perlis
ARAU, Selasa – Pusat pengajian tahfiz perlu seimbangkan pengajian Al-Quran dan akademik para pelajarnya, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, semua pusat tahfiz di negeri juga harus berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bagi memudahkan urusan pentabiran.
Dalam masa yang sama, ia juga dapat meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap aspek pengurusan pusat tahfiz berkenaan.
“Penubuhan pusat tahfiz itu sudah tentu untuk memberi manfaat kepada para pelajar mendalami bidang hafazan al-Quran namun dalam masa yang sama pelajar juga harus didedahkan pengetahuan akademik yang seragam.
“Jika sukatan pengajian Al-Quran dan akademik dapat diseimbangkan, nescaya negeri ini mampu melahirkan generasi pemimpin atau ketua yang memiliki pengetahuan bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang tahfiz,” titah baginda semasa merasmikan Program Titian Kasih Mega Khas Bersama Maahad-Maahad Tahfiz Seluruh Negeri Perlis 2016 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini semalam.
Selain itu, baginda turut menyeru pengendali pusat tahfiz agar memilih tenaga pengajar yang bertauliah.
“Jika ada tenaga pengajar yang tidak cukup ilmu mengajar tanpa pengawasan pihak atasan, ia mungkin menjadi faktor kerosakan generasi akan datang yang berpunca daripada teknik tidak betul pembelajaran al-Quran dan lain-lain bidang berkaitan agama,” titah baginda lagi.
The post Seimbangkan pengajian al-Quran dan akademik pelajar tahfiz: Raja Muda Perlis appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan