Sekat penganjur anugerah hina Islam
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Selasa – Kerajaan perlu menyekat sebarang penganjuran anugerah atau program yang menghina institusi ulama dan agama Islam, kata Timbalan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Dr Norzila Baharin.
Beliau yang mengulas anugerah anjuran gabungan NGO feminis berkata, sudah tiba masanya kerajaan memandang serius perkara itu yang disifatkan sebagai penghinaan kepada Islam.
Ini berikutan tindakan melampau pertubuhan liberal melibatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussaini Zakaria dalam anugerah ‘Aiyoh Wat Lah!’ sebagai salah seorang pemenang bagi kategori ‘menghina intelektual’.
“Mungkin pada mereka, perkara yang dilakukan itu tidak salah sebab ia just for joking, tetapi pada kita, apa-apa yang berkaitan Islam, mufti tidak boleh dibuat jenaka.
“Zaman Rasulullah SAW, pendapat dan kata-kata golongan ulama ini sangat dihormati serta dipandang tinggi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.
Mengulas lanjut Dr Norzila berkata, tidak sepatutnya institusi agama dijadikan bahan keseronokan berikutan Islam adalah sebagai agama Persekutuan.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti bukan kosong semata-mata, ia berdasarkan ilmu.
“Sebelum ini juga, Wanita Isma pernah dijadikan bahan yang sama oleh mereka. Golongan liberal ini dia akan sentiasa cari bahan untuk mereka persendakan,” katanya.
Malah beliau turut melahirkan kebimbangannya, sekiranya ia tidak diambil tindakan sehingga mempengaruhi generasi muda untuk menjadikan Islam sebagai bahan jenaka.
“Maka, akan lebih ramai meminggirkan agama Islam dan terikut dengan gaya liberal yang menghancurkan agama,” katanya.
The post Sekat penganjur anugerah hina Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan