Shabery rayu isu politik Terengganu diselesai secara baik
KEMAMAN, Jumaat – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak yakin Barisan Nasional (BN) boleh mencapai kemenangan besar jika ada Pilihan Raya Negeri Terengganu, berikutan krisis politik di negeri itu sekarang.
Sehubungan itu, beliau merayu Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan kemelut politik di negeri ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata, kemelut itu harus diselesaikan secara bijaksana demi masa depan UMNO dan rakyat.
“Saya merayu kepada semua pihak sama ada menteri besar atau bekas menteri besar untuk memikirkan jalan yang terbaik khususnya bagi masa depan UMNO dan tidak mengambil tindakan yang boleh merosakkan parti.
“Saya bimbang perpecahan akan berlaku dan kita tak boleh mendakwa bahawa UMNO akan sentiasa kuat… saya yang berada di Kemaman pun tidak boleh menjamin bahawa semua kerusi yang ada di sini dapat kita pastikan kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bencana kepada 21 nelayan di Kemasik yang dilanda ribut, hari ini.
Ahmad Shabery berkata, kemelut politik seperti itu akan menyebabkan rakyat ragu terhadap pemerintah mengakibatkan sokongan juga terjejas.
“Bila berlaku perpecahan, sokongan keseluruhan berdasarkan kepada anggota UMNO itu mungkin sekitar 45 hingga 48 peratus dan pembangkang mungkin tak sekuat itu.
“Tetapi yang menentukan sokongan ialah rakyat yang mungkin tidak berparti…yang mungkin tak berada dalam mana-mana parti politik, tetapi mereka melihat sebuah parti yang diterajui oleh pemimpin yang tak boleh duduk sekali, jadi mereka tak ada keyakinan untuk memberikan sokongan kepada parti ini,” katanya.
The post Shabery rayu isu politik Terengganu diselesai secara baik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan