Subjek ‘interfaith understanding’ hanya menghidupkan pluralisme agama
CADANGAN Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) Datuk Azman Amin Hassan kepada Kementerian Pendidikan supaya diajar subjek agama lain kepada pelajar-pelajar Islam merupakan langkah untuk menghidupkan pluralisme agama yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat di Malaysia.
Sejarah membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama boleh hidup aman dan harmoni serta menghormati antara satu sama lain sejak negara mencapai kemerdekaan. Semuanya itu tanpa perlu agama lain dipelajari oleh pelajar Islam.
Keadaan tidak harmoni antara penganut agama di Malaysia adalah berpunca daripada tindakan provokasi dan penghinaan berterusan yang dilakukan oleh pelbagai pihak ke atas agama Islam, seperti yang dilakukan oleh Namewee dan seumpamanya selama ini, yang sehingga kini bebas tanpa sebarang tindakan.
Selain itu, keadaan bertambah buruk apabila ahli politik mempolitikkan isu agama bagi kepentingan parti masing-masing. Contoh yang jelas ialah isu penggunaan Nama Suci ALLAH, walaupun Jawatankuasa Fatwa telah membuat keputusan, masih ada politikus yang tidak tahu bahasa.
Sepatutnya pihak JKMPKA meneliti dan mencadangkan langkah-langkah bagi membendung tindakan tidak bertanggungjawab itu kepada kementerian dan agensi kerajaan yang terbabit.
Jikapun mahu mencari sebab perpecahan dan ketidak harmonian daripada sudut pelajaran, maka isu kewujudan sekolah vernakular yang menjauhkan jurang persefahaman antara kaum dan menghapuskan penghayatan terhadap perlembagaan sepatutnya ibarat gajah depan mata. Mengapa kuman di seberang laut yang masih dicari?
Cadangan pengerusi JKMPKA itu bukan sahaja tidak menjejak di bumi nyata kerana tidak menyelesaikan masalah sebenar, malah amat jelas sekali lebih berbahaya daripada seruan IFC dan Comango yang telah ditolak mentah-mentah oleh majoriti rakyat negara ini.
Sekiranya cadangan songsang ini mahu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan, maka Ikatan Muslimin Malaysia amat percaya dan yakin, seluruh umat Islam di bumi bertuah ini akan bersatu dan bangkit menentang usaha menghakis jati diri Muslim secara terancang ini.
Pertumbuhan bagai cendawan selepas hujan sekolah-sekolah tahfiz yang berada di luar arus perdana pendidikan negara pada hari ini seharusnya memberi mesej penting kepada Kementerian Pendidikan mengenai aspirasi orang-orang Melayu dalam pendidikan anak-anak mereka.
Adakah cadangan JKMPKA ini satu tindakan mahu menguburkan langsung aspirasi dan suara majoriti rakyat negara ini?
Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Ketua Penerangan Isma
The post Subjek ‘interfaith understanding’ hanya menghidupkan pluralisme agama appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan