Syarikat China nafi komplot tutup hutang, skandal 1MDB

1mdb-4

BANGI, Isnin – China Communications Construction Company (CCCC), pemilik baru kumpulan kejuruteraan Australia – John Holland – menafikan pembabitan dalam apa yang didakwa sebagai konspirasi untuk menutup skandal rasuah berbilion ringgit dana 1MDB, dengan mengubah kos projek landasan kereta api.

Minggu lalu, Sarawak Report mendakwa kerajaan dijangka menganugerahkan kontrak Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRP) kepada firma itu, tetapi dengan perbezaan sebanyak RM30 bilion daripada anggaran awal.

Tambahan RM30 bilion didakwa akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB, selepas projek yang dicadangkan itu diluluskan pada kos RM60 bilion.

Portal berkenaan mendakwa pelan licik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah untuk mendapatkan persetujuan kerajaan bagi meningkatkan kos sebenar projek ECRP daripada hanya RM30 bilion kepada RM60 bilion, semua ini akan dipinjam daripada kerajaan China sebagai samaran bagi pembayaran hutang syarikat 1MDB.

Dalam kenyataan kepada The Australian, CCCC memberitahu pihak mereka tidak mengetahui dakwaan terkandung dalam artikel Sarawak Report iyi.

“Kami akan terus mengikuti perkembangan tuduhan palsu dibuat media tertentu dan akan mengambil langkah perlu untuk mempertahankan hak kami yang sah,” kata CCCC.

Akhbar itu melaporkan, dakwaan Sarawak Report terhadap syarikat induk John Holland menyaksikan tiga syarikat besar milik rakyat Australia ditarik ke dalam skandal 1MDB, yang mana pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mendakwa sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion (RM14.11 bilion) dicuri daripada dana berkenaan.

Dua lagi syarikat ialah ANZ yang memiliki satu perempat daripada AmBank Malaysia, yang mana bayaran rasuah didakwa berakhir ke dalam akaun bank Najib, manakala LendLease iaitu pemaju utama projek Tun Razak Exchange dikatakan tidak jelas dalam isu pembiayaan berikutan kecurian dana.

Laporan The Australian itu turut menyebut ANZ dan LendLease belum dituduh melakukan sebarang kesalahan, manakala Najib berulang kali menafikan sebarang salah laku.

Ketua Perbendaharaan Australia, Joe Hockey membenarkan CCCC membeli John Holland daripada Leighton Holdings dengan harga AUD$853 juta (RM2.612 bilion) pada April lalu walaupun Bank Dunia mengharamkan syarikat gergasi China itu meneruskan projek sehingga tahun depan berikutan amalan penipuan.

“Pada masa itu, Hockey berkata pengaturan yang sewajarnya diambil bagi mengurangkan sebarang keraguan berhubung isu ini dan beliau berpuas hati bahawa pelaburan ini tidak bertentangan dengan kepentingan negara,” kata The Australian.

The post Syarikat China nafi komplot tutup hutang, skandal 1MDB appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?