TH permudahkan akses dapatkan maklumat jemaah haji musim ini
MADINAH, Khamis – Lembaga Tabung Haji (TH) membuat penambahbaikan dalam operasi teknologi maklumatnya dengan menyambungkan terus secara tepat segala data jemaah haji, terutama rekod perubatan mereka ke Pusat Maklumat Operasi (PMO) di sini.
Pengarah Operasi Teknologi Maklumat, Shahidan Ishak berkata, dengan cara itu segala maklumat dapat diakses dengan mudah, cepat dan tepat untuk mengetahui maklumat jemaah haji jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
Beliau berkata, penambahbaikan itu dibuat berdasarkan kepada pengalaman beberapa keadaan yang berlaku pada musim haji tahun lalu, dan pada kali ini, maklumat secara tepat masa itu turut disambung ke PMO.
“Ini bermakna maklumat yang disimpan di maktab-maktab (penginapan jemaah haji) dan maklumat melalui klinik kesihatan terus disambungkan dari bahagian maklumat ke PMO bagi tujuan penyimpanan data setiap jemaah,” katanya pada sidang media di Pejabat Hal Ehwal Jemaah Haji Malaysia di sini, hari ini.
Shahidan berkata, apabila berlaku sebarang insiden atau masalah mengesan jemaah, PMO akan dapat mengakses setiap data mereka seperti latar belakang keluarga dan rekod kesihatan serta dapat mengetahui kedudukan terakhir jemaah itu berada.
“Dengan cara ini juga keluarga di Malaysia akan mendapat maklumat terkini keadaan jemaah haji apabila sistem di Tanah Suci ini akan terus dapat diakses ke tanah air,” katanya.
Beliau berkata, 20 petugas yang membabitkan pakar teknologi maklumat berada lebih awal di Tanah Suci untuk mengemas kini perkakasan teknologi yang akan digunakan para petugas haji nanti. – Bernama
The post TH permudahkan akses dapatkan maklumat jemaah haji musim ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan