Akta kawal selia dana politik dibentang ke Kabinet
KUALA LUMPUR, Jumaat – Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk menjamin integriti dan tadbir urus parti politik akan dibentang ke Kabinet dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan.
Beliau berkata, pihaknya memerlukan dua minggu untuk selesai membentangkan draf dicadangkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) sebelum satu agensi atau kementerian khusus diberi tanggungjawab untuk membuat penelitian lanjut.
Difahamkan, draf akta itu merangkumi 32 cadangan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu proses pelaksanaan, keperluan undang-undang baharu dan jangkaan pelbagai isu berbangkit dalam tempoh panjang.
“Kementerian atau agensi ini akan memperhalusi cadangan JKNMPP untuk merangka draf terakhir yang bakal dibentang ke Parlimen supaya akta baharu diwujudkan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Terdahulu, JKNMPP pernah mengesyorkan untuk setiap ahli dan parti politik mewujudkan akaun berasingan untuk menerima dana atau sumbangan supaya pemantauan aliran kewangan boleh dilaksanakan.
Jawatankuasa itu berkata, jumlah sumbangan kepada ahli dan parti politik tidak dihadkan, namun setiap perbelanjaan perlu direkodkan serta dikawal selia oleh Pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.
Bagaimanapun setiap sumbangan tunai daripada sumber asing kepada parti atau ahli politik perlu diharamkan supaya tiada pengaruh luar terhadap tadbir arus dan hala tuju tempatan.
The post Akta kawal selia dana politik dibentang ke Kabinet appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan