Demokrasi Najib jadi bahan ketawa, kata Tun Dr Mahathir

mahathir-najib

BANGI, Jumaat – “Najib mendakwa bahawa pemerintahannya adalah demokratik dan sebarang percubaan untuk menyingkirnya bermakna menolak demokrasi. Dakwaan ini tidak berasas sama sekali. Sebenarnya ia menjadi bahan ketawa.”

Demikian kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menambah salah satu daripada amalan demokrasi ialah penyingkiran pemimpin yang tidak berjaya atau melakukan sesuatu yang tidak baik atau salah terhadap negara.

Beliau memberi contoh Perdana Menteri Australia, Tony Abbot yang meletak jawatan kerana partinya memilih Presiden baru, manakala Perdana Menteri Britain, David Cameron pula berundur selepas kalah dalam pungutan suara berkaitan dengan Brexit.

Katanya, di Brazil, Dewan Senat menggantung Presiden untuk menghindar kemungkinan dia menganggu siasatan terhadapnya, manakala Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon disingkir kerana skandal Watergate.

Beliau berkata, penyingkiran pemimpin tertinggi yang bermasalah bukan sahaja tidak bermakna menolak demokrasi, tetapi sebenarnya menjadi bukti demokrasi sedang berjalan dengan baik.

“Di Malaysia Najib sendiri berperanan dalam penyingkiran Abdullah Badawi sebelum tamat edahnya. Sebaliknya apa yang berlaku sekarang ialah Najib sebagai Perdana Menteri sudah pun menolak demokrasi. Buktinya jelas dan bertimbun-timbun.

“Yang pertama perpisahan kuasa antara pihak legislative (pembuat undang-undang) , executive (pentadbir, polis dan tentera) dan judiciary (penghakiman) setelah menguasai jabatan Pendakwa Raya sudah tidak ada lagi. Najib menguasai ketiga-tiga badan ini, sesuatu yang bercanggah dengan amalam demokrasi.

“Ahli Parlimen BN pula tidak bebas dan dipaksa melalui berbagai cara supaya sokong dan lulus apa sahaja yang dikemuka atau dilakukan oleh Najib. Jika tidak mereka akan digantung, diturun pangkat dan disingkir. Undi tak percaya tidak boleh diadakan terhadap Najib kerana sebab yang sama,” katanya dalam blog beliau hari ini.

Tun Dr Mahathir berkata, pegawai eksekutif seperti pentadbir, polis dan tentera tidak bebas menjalankan tugas mereka kerana Najib mengikat tangan mereka dengan rasuah, ugutan menyingkir, menurunkan pangkat, menukar jawatan, mengancam pencen mereka dan lain-lain.

Manakala, yang sudah bersara, katanya, tidak berani mendedah kesalahan yang mereka dipaksa lakukan kerana takut dan diugut dengan pelbagai cara.

“Peniaga, kontraktor, akhbar dan pemberita kecil dan besar juga demikian. Berbagai tuduhan dibuat terhadap mereka, gangguan melalui siasatan tanpa sebab oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri, pembatalan kontrak Kerajaan, disenarai hitam, sekatan berhutang dengan bank dan bermacam lagi.

“Undang-undang keselamatan baru membelakangkan sama sekali hak rakyat dibicara dalam mahkamah jika ditangkap dan dimasuk dalam tahanan. Jika rakyat atau anggota keselamatan terbunuh, “inquest” iaitu pemeriksaan akan sebab kematian oleh Majistret tidak boleh diadakan. Persoalan di mahkamah berkenaan kes juga tidak dibenar.

“Baru-baru ini apabila komen dibuat oleh seseorang berkenaan kematian seorang tokoh politik, polis menangkap orang itu tanpa waran, menyoalnya selama 12 jam, sebelum dilepas. Ketua Polis Negara dakwa bahawa waran tangkap tidak diperlukan. Siapa sahaja boleh ditangkap oleh polis tanpa waran,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, semua ini adalah bukti jelas dan terang bahawa Najib sudah menghapuskan demokrasi di negara ini.

“Yang patut ditangkap dan dihadap ke mahkamah kerana mensabotaj demokrasi di Malaysia ialah Najib. Selagi Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia selama itulah Malaysia tidak demokratik. Lebih dari itu Malaysia akan diperintah oleh pemerintahan kuku besi yang tidak pegang kepada undang-undang,” katanya.

The post Demokrasi Najib jadi bahan ketawa, kata Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?