JASTA: Arab Saudi beri amaran AS bakal terima kesan negatif
RIYADH, Jumaat – Arab Saudi memberi amaran bahawa Akta Keadilan Terhadap Penaja Keganasan (JASTA) Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan keluarga mangsa serangan 9/11 di New York menyaman negara itu, akan memberi kesan negatif kepada semua negara dan mengetepi kekebalan sebuah negara berdaulat.
Sumber kerajaan Arab Saudi berkata, JASTA akan menyumbang kepada terhakisnya prinsip kekebalan berdaulat yang menjadi jambatan kepada hubungan antarabangsa sejak ratusan tahun lalu.
Arab Saudi juga memberi amaran akan menjual sehingga AS$750 bilion (RM3 trilion) sekuriti AS dan aset lain di Amerika sebagai tindak balas jika enakmen baharu itu menjadi undang-undang.
Beberapa hari lalu, Senat AS meluluskan rang undang-undang yang akan membolehkan keluarga mangsa serangan 11 September untuk menyaman kerajaan Arab Saudi dengan menuntut ganti rugi. Arab Saudi, menafikan bertanggungjawab ke atas serangan pada 2001.
Arab Saudi boleh menggunakan pelbagai cara bagi menghalang rang undang-undang itu, termasuk menyekat hubungan rasmi, menarik balik berbilion dolar daripada ekonomi AS dan memujuk sekutunya dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk memberi tekanan kepada AS.
“Ini adalah sesuatu yang jelas kepada Amerika dan negara lain di dunia. Jika salah satu daripada enam negara anggota GCC menjadi sasaran secara tidak adil, negara anggota yang lain akan mempertahankannya.
“Semua negara akan mempertahankan Arab Saudi dengan apa cara sekali pun,” kata penganalisis yang juga Profesor Sains Politik Universiti Emiriah Arab Bersatu, Abdulkhaleq Abdullah.
Contohnya, apabila Arab Saudi mahu memberi tekanan kepada Qatar untuk mengehadkan sokongan kepada kumpulan Ikhwanul Muslimin di Mesir, negara itu memanggil pulang dutanya dari Doha pada 2014 dan mengasingkannya di kalangan GCC.
Apabila Menteri Luar Sweden, Margot Wallstrom dengan keras mengkritik hak asasi Arab Saudi tahun lalu, negara itu memberi tekanan diplomatik yang menjejaskan pendirian Stockholm di kalangan negara Arab, selain mengugut menjejaskan kepentingan Sweden di Timur Tengah. Stockholm akhirnya mengalah.
Bekas Penolong Setiausaha Pertahanan AS bagi hal ehwal keselamatan antarabangsa dan duta ke Arab Saudi ketika operasi ‘Desert Storm’, Chas Freeman, berkata Arab Saudi boleh bertindak balas dengan cara yang akan menjejaskan kepentingan strategi AS, seperti peraturan ruang udara antara Eropah dan Asia dan penggunaan pangkalan tentera Qatar oleh AS bagi melaksanakan operasinya di Afghanistan, Iraq dan Syria.
“Selain memburukkan hubungan, rang undang-undang ini tidak dapat tidak akan menjejaskan kerjasama Arab Saudi dalam menentang keganasan,” katanya.
Presiden Barack Obama menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang JASTA dengan memberi alasan membenarkan mahkamah AS menghapuskan imuniti kedaulatan negara lain, boleh menyebabkan kerajaan negara lain juga bertindak balas dengan membenarkan mahkamah mereka melaksanakan bidang kuasa ke atas AS dan kakitangannya yang melakukan sesuatu di luar AS.
Ini termasuk serangan oleh dron AS yang menyebabkan kematian dan penyalahgunaan kuasa dilakukan unit latihan polis atau tentera AS di luar negara.
Bagaimanapun, Dewan Perwakilan dengan undi 348-77 menolak veto itu, sejam selepas Dewan Senat menolaknya dengan undi 97-1. Ini bermakna JASTA akan dijadikan undang-undang. – Agensi
The post JASTA: Arab Saudi beri amaran AS bakal terima kesan negatif appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan