Shimon Peres: Realiti imej Israel di Barat dan mangsa yang dilupakan
BANGI, Jumaat – ShimonPeres, yang meninggal dunia Rabu lalu pada usia 93 selepas mengalami serangan angin ahmar pada 13 September, adalah lambang perbezaan antara imej Israel di Barat dan realiti serta dasar ‘penjajahan berdarah’ di Palestin serta rantau yang lebih luas.
Peres dilahirkan di Belarus pada 1923, dan keluarganya berpindah ke Palestin pada 1930-an. Sebagai anak muda, Peres menyertai Haganah – kumpulan militan utama yang bertanggungjawab terhadap pertelingkahan dan pembersihan etnik serta perkampungan Palestin pada 1947 hingga 1949 – ketika tragedi Nakba.
Nakba bermaksud ‘malapetaka’ yang merujuk kepada peristiwa pengusiran 750,000 rakyat Palestin dari rumah mereka pada 1948, iaitu tahun di mana negara haram Israel ditubuhkan, dan pemusnahan beratus-ratus perkampungan Palestin oleh tentera Yahudi.
Walaupun, peristiwa itu menjadi sejarah yang tidak dilupakan, Peres, ketika penubuhan negara Israel, sentiasa menegaskan bahawa tentera Israel perlu kekal menggunakan senjata. Sesungguhnya, dia juga mendakwa sebelum kewujudan Israel, ‘tiada apa-apa di sini’.
Selama tujuh dekad, Peres berkhidmat sebagai Perdana Menteri (dua kali) dan presiden, walaupun dia tidak pernah memenangi pilihan raya terbuka negara itu. Dia adalah salah seorang daripada 12 anggota Kabinet dan pernah bertugas sebagai Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan Menteri Kewangan Israel.
Dia mungkin paling dikenali di Barat menerusi peranannya dalam rundingan yang membawa kepada Perjanjian Oslo pada 1993, bersama Yitzhak Rabin dan Yasser Arafat, sehingga memperoleh Hadiah Nobel Keamanan. Perjanjian Oslo lebih memihak kepada Israel, sedang rakyat Palestin terus tertindas.
Namun, bagi rakyat Palestin dan jirannya di Timur Tengah, rekod Peres amat berbeza daripada reputasinya di Barat.
Berikut adalah ringkasan menyeluruh rekod Peres ‘dalam perkhidmatan penjajahan dan apartheid’ Israel di Palestin.
Senjata nuklear
Antara 1953 hingga 1965, Peres berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan Israel dan kemudian sebagai Timbalan Menteri Pertahanan. Berikutan tanggungjawabnya ketika itu, Peres digambarkan sebagai ‘arkitek program senjata nuklear Israel’, di mana sehingga sekarang, ‘kekal di luar pemerhatian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)’.
Pada 1975, menerusi minit mesyuarat rahsia yang didedahkan, Peres bertemu Menteri Pertahanan Afrika Selatan, PW Botha dan menawar untuk menjual kepala peledak nuklear kepada rejim apartied ini. Pada 1986, Peres memberi kuasa kepada Mossad – agensi perisikan Israel – menjalankan operasi yang menyaksikan pendedah maklumat nuklear, Mordechai Vanunu diculik di Rom.
Menyasarkan rakyat Palestin
Peres memainkan peranan penting dalam mengenakan tekanan ketenteraan terhadap rakyat Palestin sehingga 1966, di mana pihak berkuasa mencuri dan melakukan penukaran tanah rakyat Palestin.
Salah satu senjata yang digunakan ialah menerusi Perkara 125 yang membenarkan tanah rakyat Palestin diisytiharkan sebagai berhampiran dengan zon ketenteraan. Pemiliknya akan dihalang masuk, dan tanah itu kemudian dirampas kerana dianggap tidak diusahakan. Peres memuji Perkara 125 sebagai satu cara untuk meneruskan perjuangan bagi mewujudkan penempatan dan penghijrahan Yahudi.
Satu lagi tanggungjawab Peres ketika menggalas tugas sebagai Ketua Pengarah di Kementerian Pertahanan ialah untuk menjadikan Galilee kawasan eksklusif untuk agama Yahudi iaitu Judais, selain meneruskan dasar yang bertujuan mengurangkan jumlah rakyat Palestin di rantau itu, berbanding orang Yahudi.
Pada 2005, sebagai Naib Perdana Menteri pada zaman pentadbiran Ariel Sharon, Peres meneruskan serangan terhadap rakyat Palestin dengan rancangan untuk menggalakkan Yahudi Israel berpindah ke Galilee. Pelan pembangunannya ialah daripada 104 komuniti, 100 mestilah Yahudi.
Dalam perbincangan rahsia dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) pada tahun yang sama, Peres mendakwa Israel hilang 1,000 kilometer persegi tanah di Negev kepada Bedouin (kumpulan etnik separa nomad di Palestin) dan menambah bahawa ‘pembangunan’ Negev serta Galilee mampu menyelesaikan apa yang diistilahkannya sebagai ancaman demografi.
Menyokong penempatan haram di Tebing Barat
Walaupun, projek penempatan di Tebing Barat menjadi keutamaan Likud dan lain-lain parti berhaluan kanan, sebenarnya parti Buruh yang memulakan penjajahan ke atas tanah Palestin yang ditawan dan Peres adalah antara individu yang bersemangat melaksanakannya.
Sepanjang tempoh Peres menjadi Menteri Pertahanan dari 1974 hingga 1977, kerajaan pentadbiran Perdana Menteri, Yitzhak Rabin mewujudkan beberapa penempatan di Tebing Barat, termasuk di Ofra – satu kawasan luas yang dirampas daripada rakyat Palestin.
Pembunuhan beramai-ramai Qana
154 orang awam dibunuh tentera Israel dalam Operation Grapes of Wrath’ di Lubnan.
Sebagai Perdana Menteri pada 1996, Peres mengarahkan dan menyelia ‘Operation Grapes of Wrath’ apabila tentera Israel membunuh kira-kira 154 orang awam di Lubnan dan mencederakan 351 yang lain. Operasi itu, yang secara umumnya dipercayai bagi menunjukkan kekuatan, menjadikan orang awam Lubnan sebagai sasaran.
Menurut laman web rasmi Tentera Udara Israel dalam bahasa Hebrew, operasi itu membabitkan pengeboman besar-besaran di perkampungan Syiah di selatan Lubnan, bertujuan ‘menghalau’ penduduk di utara ke Beirut, sekali gus memberi tekanan kepada Syria dan Lubnan supaya menghalang Hezbollah.
Tragedi paling terkenal dalam kempen pengeboman dan pembunuhan beramai-ramai Qana ialah apabila Israel mengebom kawasan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi tempat perlindungan orang awam menyebabkan 106 terbunuh. Laporan PBB menyebut, bertentangan dengan penafian Israel, serangan itu tidak mungkin merupakan kesilapan teknikal atau prosedur.
Kemudian, askar Israel memberitahu stesen televisyen negara itu bahawa mereka tidak menyesal dengan pembunuhan beramai-ramai itu, kerana yang mati adalah ‘sekumpulan orang Arab’. Bagi Peres pula, hati nuraninya juga bersih: “Semua yang dilakukan mengikut logik yang jelas dan dengan cara yang bertanggungjawab,” katanya.
Gaza – Mempertahankan sekatan dan kekejaman
Israel menggunakan fosforus ketika Operation Cast Lead.
Peres dengan sendirinya menjadi salah seorang duta global yang paling penting kepada Israel dalam 10 tahun lalu, berikutan Semenanjung Gaza tertakluk kepada sekatan amat buruk dan tiga serangan utama. Walaupun, pada dasarnya komuniti antarabangsa marah, Peres terus konsisten menyokong hukuman kolektif dan kekejaman oleh tentera.
Contohnya pada Januari 2009, walaupun ada desakan daripada aktivis hak asasi manusia Israel supaya ‘Operation Cast Lead’ dihentikan, Peres menjelaskan ‘perpaduan kebangsaan di belakang operasi ketenteraan’ dan ia adalah waktu terbaik buat Israel. Menurut Peres, serangan bertujuan memberi tamparan hebat kepada penduduk Gaza supaya mereka tidak lagi menembak Israel.
Sepanjang ‘Operation Pillar of Defence’ pada November 2012, Peres mengambil tugas membantu usaha perhubungan awam Israel dengan pemimpin dunia, menerusi Ynetnews. Pada malam sebelum Israel melancarkan serangan, Peres memberi amaran kepada Hamas, jika mahukan kehidupan normal penduduk Gaza, maka pejuang Palestin mesti menghentikan serangan roket ke arah Israel.
Pada 2014 pula ketika pengeboman mengejut ke atas Gaza, Peres bangkit sekali lagi untuk menyembunyikan jenayah perang. Selepas tentera Israel membunuh empat kanak-kanak yang sedang bermin di tepi pantai, Peres tahu siapa yang hendak dipersalahkan – rakyat Palestin. “Kami sudah memberi amaran akan mengebom kawasan itu. Malangnya, mereka tidak mengeluarkan kanak-kanak,” kata Peres.
Sekatan teruk, dikutuk pada peringkat antarabangsa kerana dianggap sebagai hukuman kolektif, juga dipertahan oleh Peres – juga dengan alasan hukuman kolektif. Sebagaimana dikatakannya pada 2014: “Jika Gaza menerima gencatan senjata, maka tiada perlu lagi dikenakan sekatan.”
Tidak menyesal hingga akhir
Sikap melindungi kekejaman adalah karakter dan ciri-ciri lelaki ini.
Peres sentiasa konsisten mengenai matlamat rundingan damai dengan Palestin. Sebagaimana katanya pada 2014: “Keutamaan pertama adalah mengekalkan Israel sebagai negara Yahudi. Itulah matlamat utama kita, itulah apa yang kita perjuangkan.”
Tahun lalu, Peres berkata: “Israel perlu melaksanakan penyelesaian dua negara untuk kepentingan sendiri. Supaya tidak kehilangan majoriti Yahudi.” Jerusalem akan menjadi ibu negara Israel, penempatan utama disediakan dan Israel kekal menduduki Lembah Jordan.
Beberapa tahun lalu, Peres menyatakan Palestin menjadi mangsa diri sendiri. “Mereka memangsakan diri sendiri. Mereka menjadikan diri mereka mangsa kepada kesilapan yang tidak sepatutnya.” – Agensi
The post Shimon Peres: Realiti imej Israel di Barat dan mangsa yang dilupakan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan