1MDB: Soalan Husni patut dijawab, bukan disoal siasat
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 30 Muharram 1438H, Isnin – Soalan yang dibangkitkan oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah di Parlimen berhubung isu 1MDB perlu dijawab oleh polis dan Peguam Negara, bukan sebaliknya menyoal siasat beliau, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun membangkitkan isu 1MDB di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, wajar diberikan kepujian.
“Jika seorang Menteri Kewangan kedua seperti Husni yang bekerjasama dengan Menteri Kewangan pertama yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai hak untuk bertanya di Parlimen, apakah lagi rakyat biasa yang inginkan kebenaran mengenai isu 1MDB didedah?
“Jika Husni perlu disoalsiasat, seluruh kabinet juga perlu disoalsiasat – apakah mereka dengan sengaja mengelirukan orang awam mengenai 1MDB,” katanya.
Serentak itu, beliau menasihatkan polis supaya tidak membazir tenaga dan masa untuk menyoal siasat Husni, yang dilaporkan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, polis sepatutnya meneruskan siasatan terhadap syarikat pelaburan kontroversi itu yang dianggap sudah tertangguh lama.
“Malah, pada 20 Oktober yang lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar berkata polis masih pada tahap mengesan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung 1MDB,” katanya.
Sebelum ini, Husni dalam ucapan usul di Parlimen mempersoalkan kewajaran penubuhan 1MDB, termasuk unit pelaburan syarikat itu bernilai lebih kurang AS$1 bilion yang dibuat oleh 1MDB apabila tidak diketahui kisahnya walhal ia sepatutnya matang pada tahun lalu.
“Soalan pertama, mengapa kita tubuhkan 1MDB, dalam konteks itu mengapa kita letak lebih kurang RM16 billion dalam Aabar PJS Limited yang bukan dimiliki oleh International Petroleum Investment Company (IPIC), sebuah syarikat dimiliki oleh dua anak raja yang didaftar di British Virgin Island.
“Mengapa tindakan undang-undang tidak diambil ke atas pengurusan 1MDB kerana masukkan duit di tempat yang tidak betul, dan mengapa tidak ambil tindakan kepada dua anak raja ini kerana penyelewengan wang tersebut?” kata Husni.
The post 1MDB: Soalan Husni patut dijawab, bukan disoal siasat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan