PAN nak jadi jaguh RUU 355, DAP sebagai tukang sorak
PERKARA ini amat ajaib sekali. Tidak ada langsung desas desus sebelum ini yang melaporkan bahawa Amanah akan membuat kertas cadangan atau memberi alternatif kepada cadangan pindaan yang dibawa oleh Tuan Guru Abdul Hadi. Tidak ada juga khabar berkenaan Amanah mengadakan perjumpaan dengan pihak-pihak berkepentingan mahupun rakan politiknya, DAP dan PKR. Sedar-sedar sudah ada cadangan, malah sudah dipersetujui oleh DAP. Menakjubkan!
Jika tidak, manakan MCA mahu meminta penjelasan di atas kesenyapan DAP terhadap pengumuman Amanah berkenaan cadangan pindaan oleh parti Islamis harmonis ini yang juga dikatakan oleh MCA akan membawa kepada perlaksanaan hudud di Malaysia.
Ini juga merupakan satu keanehan yang mana pada awalnya Amanah begitu menentang cadangan pindaan Tuan Guru Abdul Hadi kononnya ia akan bercanggah dengan Perlembagaan dan juga kerana cadangan TGAH tersebut hanya tertumpu kepada hukuman. Oleh itu, Amanah bercadang mengemukakan pindaan yang bukan sahaja menyebut tentang hukuman bahkan penambahbaikan sistem kehakiman secara menyeluruh.
Namun, ada beberapa persoalan yang timbul.
Pertama, mengapa tidak dibahaskan sahaja cadangan pindaan TGAH dan ditambah baik cadangan tersebut dan mengapa perlu mengemukakan cadangan berasingan?
Ini mungkin disebabkan oleh ketaatan kepada pakatan pembangkang baru iaitu Pakatan Harapan yang mana sekiranya Amanah menyokong TGAH yang juga Presiden PAS, maka pakatan tersebut tidak akan mempunyai maksud tersendiri bagi Amanah dan lebih malang lagi Amanah akan dikutuk sebagai pengkhianat, seperti yang telah dilalui PAS sebelum ini.
Di sini, umat Islam mampu menyedari betapa Amanah cenderung untuk mementingkan politik kepartian berbanding manfaat keseluruhan untuk Islam dan kesepakatan merentas parti mahupun organisasi Islam yang lain.
Apakah terlalu taksub untuk tampak jaguh dalam isu RUU355 ini sehinggakan tidak mahu bersama bahkan sanggup menolak terus menerus cadangan TGAH?
Kedua, mengapa DAP yang begitu keras menolak RUU355 sedari awal yang kononnya RUU hudud boleh pula dengan pantas dan mudah menerima cadangan pindaan oleh Amanah?
TGAH telah mengemukakan cadangan dan perbahasan mengenainya bermula sedari Mei 2016 di media sosial serta portal berita pro-kerajaan mahupun pro-pembangkang namun DAP serta MCA dan Persatuan Hokkien Malaysia masih sukar menerima cadangan TGAH.
Bagaimana pula DAP boleh mengambil masa kurang lebih seminggu sahaja untuk mendengar dan memahami cadangan RUU355 oleh Amanah dan dengan mudah menerima tanpa sebarang kosultansi awam ataupun forum terbuka mengenainya?
Mengambil kira pendirian tegas DAP selama ini menentang hudud dan pengukuhan kedudukan Islam dan ajarannya di Malaysia ini, berkemungkinan kandungan RUU355 cadangan Amanah itu sekadar ‘camouflage’ kepada pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah namun hakikatnya ‘in substance’ tidak begitu sama sekali. Mungkin ia sekadar pemerkasaan yang kebanyakannya dari sudut ‘technical’ atau ‘procedural’ sahaja tanpa ruh dan intipati syariah sebenar.
Bukankah sebelum ini Amanah yang dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB) pernah mengatakan bahawa perlaksanaan hudud akan tertakluk kepada kata putus DAP?
Lantaran itu, timbul tanda tanya seterusnya apakah Amanah menjadi tunggangan DAP bagi meraih undi umat Islam? Apakah cadangan RUU355 oleh Amanah ini juga bertitik tolak daripada saranan ataupun keperluan mendesak Pakatan Harapan menarik minat umat Islam untuk bersama mereka. Hal ini mungkin disebabkan keengganan PAS bagi menyertai Bersih 5.0 membuktikan bahawa mereka tidak mampu mengumpul orang Melayu Islam yang ramai. Beberapa komentar di portal berita turut mencanangkan bahawa tanpa PAS, Bersih 5.0 tidak akan berjaya selain menjadi medan perarakan orang Cina.
Mungkin mereka menilai bahawa memandangkan ia dicadangkan Amanah, maka berduyunlah undi serta penyokong dalam kalangan umat Islam serta orang bukan Islam akan meluru kearah pakatan pembangkang yang menjadi harapan kepada Malaysia yang harmoni.
Sekiranya PAS dituduh memperkudakan isu RUU355 kerana mahukan ‘political mileage’, apakah perkara yang sama boleh diperkatakan terhadap Amanah bagi merebut kepercayaan umat Islam terhadap sikap progresif dan harmonis parti tersebut lebih-lebih lagi apabila ia kononnya mendapat sokongan oleh DAP?
Akhirnya, Amanah mahu menjadi jaguh RUU355, DAP sudi menjadi tukang sorak.
Danial Ariff bin Shaari
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post PAN nak jadi jaguh RUU 355, DAP sebagai tukang sorak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan