Petronas gantung jualan NGV di tiga negeri buat sementara waktu
BANGI, 29 Muharram 1438H Ahad – Penjualan gas asli untuk kenderaan (NGV) di 67 stesen minyak Petronas bagi tiga negeri digantung buat sementara waktu.
Perkara itu dimaklumkan syarikat Petronas dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pihaknya berkata, operasi penjualan NGV terpaksa dihentikan di stesen-stesen sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.
Bagaimanapun untuk perkhidmatan lain seperti penjualan petrol dan diesel selain Kedai Mesra di semua stesen itu akan beroperasi seperti biasa.
“Petronas Dagangan Berhad (PDB) sedang mengambil langkah-langkah keselamatan di semua stesennya terhadap kemudahan NGV.
“PDB bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dalam operasinya untuk memastikan standard keselamatan yang tinggi di permis kami,” kata kenyataan itu.
Tindakan itu dibuat berikutan Rabu lalu, seorang lelaki dilaporkan maut selepas tangki mengandungi bahan api NGV meletup di sebuah stesen minyak di Johor Baru.
Lelaki terbabit yang juga seorang kontraktor dilaporkan sedang menjalankan kerja penyelenggaraan selepas pemilik stesen minyak itu melaporkan berlaku kebocoran bahan api tersebut.
The post Petronas gantung jualan NGV di tiga negeri buat sementara waktu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan