Polis panggil Husni ke Bukit Aman petang ini
KUALA LUMPUR, 30 Muharram 1438H, Isnin – Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang ini berikutan ucapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini yang dianggap membocor rahsia kerajaan.
Memetik portal liberal, pembantu Husni memaklumkan yang Husni dipanggil untuk disoal siasat pada jam 2.30 petang hari ini.
Ini kerana Husni dalam ucapannya dilaporkan meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sekiranya terdapat sebarang tindakan diambil kerana menyalurkan dana syarikat ke tempat yang salah.
Husni juga turut mempertikaikan wang AS$4 bilion (RM16.69 bilion) dilaporkan dalam Aabar Investment PJS Ltd, yang tidak dimiliki IPIC.
Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, bekas menteri Kabinet itu mungkin telah melanggar sumpah kerahsiaan Kabinet ketika berucap di dalam Dewan.
Begitu juga dengan bekas menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal, katanya mereka berdua turut melanggar sumpah kerahsiaan mendedahkan perkara berkaitan dengan syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat.
Pandikar berkata, dalam pengalamannya sebagai bekas menteri sendiri, anggota-anggota Kabinet perlu mengangkat sumpah kerahsiaan.
“Pasal apa yang saya dengar, keputusan kabinet konon tidak dilaksanakan. Itu adalah informasi dalam Kabinet,” katanya.
The post Polis panggil Husni ke Bukit Aman petang ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan