Teguhkan iman melalui bahasa

Yang Dipertua Isma Ipoh, Haji Zamri Hashim.

Antara jasa para cendiakawan Melayu Muslim yang terdahulu ialah mereka berjaya mengekalkan beberapa patah perkataan arab yang digunakan di dalam al Quran dan al Hadith untuk dikekalkan penggunaanya dalam bahasa melayu.

Tidak kurang dari 3000 patah perkataan serapan bahasa arab juga digunakan di dalam bahasa melayu. Ia membawa makna bahawa telah terjalin hubungan erat antara bangsa ini dengan sumber-sumber utama Islam iaitu al Quran dan al Sunnah Islam lantaran itu ia membawa faedah yang besar kepada bangsa melayu kerana peluang untuk memahami bahasa al Quran ini adalah lebih terbuka.

Bahkan tulisan rasmi bangsa melayu satu ketika dahulu sebelum bertukar ke tulisan rumi adalah tulisan jawi kerana dipengaruhi dengan tulisan al Quran ketika bertapak kukuhnya Islam di nusantara ini.

Amat mengujakan apabila sedikit penelitian yang dibuat, menemukan kita bahawa betapa berinovasinya cendiakawan terdahulu apabila bunyi-bunyi huruf yang diungkap di kalangan orang melayu tetapi tidak diwakili oleh huruf arab , masih mengekalkan huruf arab namun ditambah dengan titik tertentu seperti huruf “ga” ditambah satu titik ke atas huruf “kaf”, huruf “cha” ditambah dua titik kepada huruf “jim” .

Ada perkataan arab yang kekal sebutan dan maknanya yang kita gunakan seharian seperti halal, haram, wajib, kuliah dan lain-lain. Ada yang sebutannya berubah tetapi maknanya masih sama seperti nama-nama hari dalam seminggu : Ahad, Isnin, Selasa, Rabu , Khamis , Jumaat dan Sabtu; rezeki, malah, rasmi dan sebagainya.

Ada perkataan yang kita gunakan berasal dari bahasa arab tetapi telah berlaku modifikasi pada sebutan dan maknanya seperti perkataan keparat berasal dari perkataan arab seperti keparat dari perkataan “kaffarah “, petua dari perkataan “fatwa”, loghat berasal dari perkataan “lughah”.

Ada perkataan arab yang kita kita sebut dengan betul tetapi maknanya berlainan dari makna asal seperti hakim dan perkataan ahli.

Antara faedah yang sepatutnya kita rasai daripada pengekalan beberapa perkataan bahasa arab apabila kita masih menggunakannya di dalam bahasa kita ialah kita lebih hampir dengan penggunaannya daripada sumber utama Islam iaitu al Quran dan al Hadith.

Maka rujukan kita ketika kita membaca atau mendengar perkataan itu hendaklah apa yang dihendaki sebenarnya oleh al Quran dan al Hadith bukannya dirujuk kepada nilai-nilai setempat mahupun antarabangsa yang dibuat oleh manusia.

Contohnya perkataan zina, riba , rasuah (di dalam bahasa arab di baca sebagai risywah) .

Pengalihan istilah sebenar kepada lafaz-lafaz lain untuk menghilangkan makna sebenar dam ada yang bertujuan untuk memesrakan kepada masyarakat sesuatu yang dianggap dosa oleh al Quran dan al Sunnah telah diisyaratkan oleh Nabi SAW dalam hadith Sahih Ibnu Hibban yang bermaksud “ Nescaya ada di kalangan manusia dari umat ku yang meminum arak tetapi mereka menamakan arak itu dengan nama yang lain”

Ada beberapa tempat di dalam al Quran yang secara langsung mahupun tidak langsung jelas mengharamkan riba. Bahkan di dalam surah al Baqarah ayat 275 jelas Allah mengharamkan riba.

Jika orang bukan arab membaca ayat ini pun, dia akan mengagak bahawa pengharaman ini berlaku . Allah menggunakan perkataan “….wa harramar riba”. Tetapi ia cuba dimesrakan kepada orang Islam dengan ditukar namanya kepada faedah, bunga, interest dan sebagainya.

Sehingga tidak sedikit di kalangan umat Islam langsung tidak berasa berdosa apabila terus-terusan berurusan dengan riba sedangkan pada surah yang sama tetapi pada ayat 279 Allah isytiharkan perang kepada mereka yang berterusan bertransaksi dengan riba walaupun telah diperingatkan untuk meninggalkannya.

Begitu juga perkataan zina yang membawa maksud perbuatan yang mendatangkan satu dosa besar jika dilakukan bahkan al Quran dan al Hadith telah menetapkan hukum tertentu kepada pelaku-pelakunya , namun cuba dilunakkan dengan perkataan “terlanjur”.

Bukanlah bermaksud menyisihkan mereka yang telah bertaubat dari perbuatan keji itu tetapi janganlah bermudah-mudah dan tidak ambil peduli terhadap semua keadaan dan suasana yang menggalakkan perbuatan berkenaan sehingga senang-senang sahaja nanti meraka yang terlibat beralasan bahawa ia “terlanjur”.

Begitu juga dengan perkataan rasuah yang berasal dari perkataan arab “risywah” telah diganti perkataannya kepada duit kopi, minyak pelincir dan sebagainya sedangkan di dalam hadith dengan sanad yang sahih riwayat Tobroni jelas Allah melaknat al Rasyi (orang yang memberi rasuah), wa al murtasyi (orang yang menerima rasuah ), wa al ra’isy ( pengantara antara yang memberi dan yang menerima).

Sesungguhnya kita amat bertuah apabila banyak perbendaharaan perkataan arab menerusi al Quran dan al hadith dapat kita pelajari dengan lebih mudah disebabkan ia telah kita gunakan seharian secara sedar mahupun tidak sedar.

Ustaz Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

The post Teguhkan iman melalui bahasa appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?