Malaysia perlu hentikan pelaburan di Myanmar: NGO
KUALA LUMPUR, 30 Safar 1438H, Rabu – Jaringan Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) menggesa para pelabur Malaysia menghentikan pelaburan di Myanmar bagi mengenakan tekanan ke atas negara itu yang dikatakan melakukan kezaliman ke atas masyarakat Rohingya.
Pengarah Eksekutif BHRN, Kyaw Win berkata, hari ini masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara ASEAN juga wajar mempertimbangkan semula pelaburan mereka di Myanmar.
“Malaysia mempunyai banyak pelabur di Burma (Myanmar). Sebagai, pelabur anda mempunyai lebih banyak kuasa. Anda (pelabur Malaysia) adalah rakan yang kukuh, gunakan ini untuk membantu saudara-saudara anda di negara itu.
“Bila anda berhenti melabur atau membawa balik pelaburan anda, bererti anda menarik keluar sebahagian kekuatan mereka.
“Ini memberi mesej kepada orang-orang itu bahawa apa yang mereka lakukan adalah tidak betul dan mesti dihentikan,” katanya kepada Bernama selepas interbiu dalam program televisyen ‘Bernama Today’ di sini.
Beliau berkata, satu-satunya cara untuk menghentikan keganasan terhadap masyarakat Rohingya ialah dengan mengadakan semula sekatan.
Kyaw Win berkata, adalah amat mengejutkan melihat beribu-ribu kanak-kanak di Myanmar menunjukkan tanda-tanda terencat pembesaran tubuh akibat kekurangan makanan yang kronik.
Masyarakat Rohingya dikatakan ditindas, menyebabkan beribu-ribu orang meninggalkan negara itu bagi mengelakkan kezaliman terhadap mereka. – Bernama
The post Malaysia perlu hentikan pelaburan di Myanmar: NGO appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan