Mangsa banjir Terengganu meningkat kepada 317 orang
KUALA TERENGGANU, 30 Safar 1438H, Rabu – Jumlah mangsa banjir kilat di negeri Terengganu meningkat kepada 317 mangsa daripada 79 keluarga di lima pusat pemindahan setakat jam 9 pagi tadi.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Info Banjir menyatakan dua buah pusat pemindahan baharu dibuka di Kuala Terengganu iaitu di Sekolah Kebangsaan Chendering yang kini menempatkan tujuh mangsa daripada tiga keluarga.
Manakala sebuah lagi pusat pemindahan dibuka di daerah Kemaman iaitu di Balai JKKK Kampung Titi Berayun yang menempatkan lima mangsa dari sebuah keluarga.
Di pusat pemindahan Sekolah Menengah Badrul Alam Shah, Kemasik, mangsa meningkat kepada 256 orang daripada 65 keluarga, manakala di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Telok Kalong jumlah mangsa setakat ini adalah 43 orang dari lapan keluarga.
Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek pula menempatkan enam mangsa daripada dua keluarga.
Semalam daerah Kemaman dan Kuala Terengganu dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat lebih dari lapan jam mengakibatkan jalan raya dilimpahi air dan rumah di kawasan rendah dinaiki air.- Bernama
The post Mangsa banjir Terengganu meningkat kepada 317 orang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan