Acara negara sudah dipolitikkan, kata Tun Dr Mahathir
BANGI, 8 Rabiulawal 1438H, Khamis – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan acara negara sudah dipolitikkan susulan pembatalan undangan terhadapnya untuk menghadiri istiadat lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, 13 Disember ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika menerima undangan berkenaan sebelum ini, beliau memberi jawapan akan menghadiri istiadat itu kerana menganggap ia acara nasional.
Bagaimanapun, negarawan itu tidak menyangka bahawa di sebaliknya ia diseliputi agenda politik apabila menerima sepucuk surat memaklumkan pembatalan undangan terhadapnya.
“Saya jawab bahawa saya akan hadir kerana saya anggap acara ini sebagai acara nasional yang tidak ada kaitan dengan mana-mana parti politik.
“Rupa-rupanya acara negara adalah sebahagian dari politik parti.
“Saya minta maaf kerana membuat anggapan yang salah. Saya akan ambil ingatan bahawa Istana Negara adalah milik Najib dan Parti Barisan Nasional,” katanya dalam tulisan terbaharu dalam blog chedet.cc, hari ini.
Menurut surat ditandatangani Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad bertarikh 5 Disember, pembatalan undangan berkenaan bagi mengelak kesipuan (embarrassment) jika Dr Mahathir dan isteri hadir, kerana pihak berkenaan tidak menyediakan kerusi untuk mereka.
Surat pembatalan undangan turut dihantar kepada isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Salinan kedua-dua surat itu telah dimuat naik dalam laman web Marina Mahathir pada petang semalam.
BERITA BERKAITAN
(VIDEO) Isu tak sedia kerusi kepada Tun M pada istiadat lafaz sumpah Agong
The post Acara negara sudah dipolitikkan, kata Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan