Agensi umrah wajib ada Lesen Khas Umrah mulai Oktober depan
PUTRAJAYA, 16 Rabiulawal 1438H, Jumaat – Mulai 1 Oktober tahun depan, agensi mengendalikan umrah perlu mendapatkan Lesen Khas Umrah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, tujuan lesen khas itu adalah untuk memantau dan membangunkan industri pelancongan umrah negara.
“Di bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992, syarikat pengendali umrah yang gagal mendapatkan lesen berkenaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, selain berdepan dengan pembatalan lesen pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai keputusan Mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU), di kementeriannya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai prasyarat untuk mendapatkan lesen khas berkenaan, syarikat pengendali umrah berkenaan perlu menjalani Kursus Pemantapan Pengendali Umrah (KPPU) selama dua hari.
“Kursus itu adalah wajib dan perlu dihadiri oleh semua agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah,” katanya.
Sebelum ini, syarikat pengendali umrah hanya perlu memiliki lesen ke luar negara atau ‘outbound’ untuk membawa jemaah umrah.
The post Agensi umrah wajib ada Lesen Khas Umrah mulai Oktober depan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan