Bicara kes rasuah Guan Eng, Li Koon 27 Mac
GEORGETOWN, 6 Rabiulawal 1538H, Selasa – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menetapkan, tarikh perbicaraan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon bermula 27 Mac 2017.
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu sebaik pihak pendakwaan dan pembelaan melengkapkan dokumen akhir sebelum 6 Januari depan.
Ketika prosiding sebentar tadi, beliau meminta pihak pendakwaan melengkapkan sepenuhnya dokumen sebanyak 13,000 halaman itu pada tarikh berkenaan supaya kes berjalan dengan cepat.
“Perbicaraan kes ini akan bermula pada 27 Mac depan dan ia akan dijalankan lima hari selang seminggu sehingga 27 Julai 2017,” katanya.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud. Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Li Koon.
Kes rasuah Guan Eng dan Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.
Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, di sini daripada Li Koon dengan harga RM2.8 juta.
The post Bicara kes rasuah Guan Eng, Li Koon 27 Mac appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan