Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sasar 5 juta hektar hutan simpan kekal menjelang 2020

DUNGUN, 1 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan keluasan kawasan hutan simpan kekal kepada 5 juta hektar menjelang tahun 2020.

Timbalan Ketua Pengarahnya (Dasar dan Perancangan), Datuk Nor Akhirrudin Mahmud berkata, pelbagai usaha giat dilaksanakan dalam memastikan hasrat tersebut dapat dicapai.

“Sekarang ini di seluruh semenanjung kita mempunyai 4.7 juta hektar kawasan yang berstatus hutan simpan kekal dan kita berhasrat untuk meningkatkan keluasan hutan simpan kekal ini sehingga 5 juta hektar menjelang 2020.

“Di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) untuk tempoh lima tahun iaitu 2016 hingga 2020, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan rehabilitasi dan restorasi kawasan hutan di semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Komunikasi, Pendidikan, Penyertaan dan Kesedaran Awam (CEPA)peringkat negeri di sini hari ini. 

Turut hadir Pengarah Perhutanan Terengganu Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid. Nor Akhirrudin berkata pihaknya juga kini sedang giat mengadakan penanaman semula pokok di kawasan hutan dan pantai bagi tujuan menghijaukan kawasan.

“Kita juga turut giat melaksanakan penanaman pokok yang mana kita sasarkan untuk menanam 5 juta pokok setahun dan kita turut mempergiatkan usaha di tiga kawasan yang terjejas akibat hakisan iaitu di Cameron Highlands, Lembangan Sungai Kelantan dan Janda Baik.

“Pihak jabatan juga turut mengadakan pendekatan pintar dalam usaha memulihkan kawasan hutan dan penanaman semula pokok dengan mengadakan konsep penswastaan dan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan(NGO),” katanya.

Sebelum penanaman pokok dilaksanakan, Nor Akhirrudin berkata, pihaknya akan melihat spesies asal pokok yang terdapat di kawasan tersebut.

“Kita tanam pelbagai jenis pokok…tetapi sebelum itu kita akan lihat spesies pokok asal di kawasan tersebut dan kita akan tanam kembali pokok spesies yang sama di kawasan tersebut,” katanya.

Nor Akhirrudin berkata, jabatan hutan bukan hanya menumpukan penanaman pokok di kawasan hutan, malah turut menanam pokok di kawasan pantai dalam usaha memelihara kawasan pantai. 

“Antara pokok yang ditanam ialah Pokok Rhu, Pokok Ketapang dan Jambu Laut di sekitar kawasan pantai yang boleh menjadi penahan ombak,”katanya. – Bernama

The post Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sasar 5 juta hektar hutan simpan kekal menjelang 2020 appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?