Khaled ulang pendirian dakwaan Tun M berniat jahat, tak berasas
BANGI, 8 Rabiulawal 1438H, Khamis – Dakwaan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan negeri Johor memberi status kerakyatan kepada 700,000 rakyat China sekali lagi dibidas Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Khaled dalam satu kenyataan medianya berkata, dakwaan melulu Tun Mahathir itu bukan sahaja tidak logik dan berasas, malah sangat tersasar dari bersandarkan sebarang fakta dan mana-mana sumber yang sahih.
“Saya kekal konsisten dengan pendirian tegas dan kenyataan saya sebelum ini mengenai dakwaan Tun Mahathir berkaitan 700,000 warga asing di Johor yang kononnya akan diberi Kad Pengenalan (IC) untuk menjadi pengundi sebagai tidak berasas, tidak bertanggung jawab dan berniat jahat untuk mengeliru serta menakut-nakutkan rakyat,” katanya.
Khaled merujuk kepada entri terbaharu Dr Mahathir dalam blog beliau, chedet.cc bertarikh 6 Disember 2016 juga dalam satu siri ceramah anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.
Khaled menjelaskan, bagi tempoh 2003 sehingga 30 November 2016, jumlah kelulusan permohonan kebenaran perolehan hartanah oleh kepentingan asing dalam rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Johor adalah sebanyak 29,218 unit.
Katanya, angka tersebut adalah bagi pemilikan hartanah jenis bertanah (landed property) dan
strata.
Jelasnya, jumlah pemilikan asing itu hanyalah 2.01 peratus daripada jumlah keseluruhan hak milik hartanah di Johor, iaitu sebanyak 1,452,931 unit.
“Sekiranya kita mengambil kira empat orang bagi setiap unit hartanah, berdasarkan anggaran Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sekurang-kurangnya 116,872 orang sahaja yang mengisi unit-unit hartanah yang dimiliki oleh orang asing itu.
“Dan kesemua angka ini sangat jauh dan ternyata meleset daripada angka 700,000 seperti didakwa Tun Mahathir.
“Malah dalam entri terbaharunya, Tun Mahathir menganggarkan Johor Bahru akan didiami oleh 1.5 juta warganegara asing. Jelas Tun Mahathir tidak konsisten dengan angka yang digunakannya,” bidas Khaled.
Kesal dengan tuduhan itu, beliau mengingatkan bahawa Tun Mahathir pernah menjadi seorang Perdana Menteri, maka sudah semestinya beliau arif mengenai proses keluhuran undang-undang serta prosedur ketat berkaitan permohonan seseorang individu untuk mendapat kerakyatan sesebuah negara.
“Proses memohon dan mendapatkan status warganegara Malaysia oleh orang asing adalah proses yang sukar, ketat dan memerlukan pertimbangan teliti kerajaan dalam pelbagai aspek.
“Malaysia adalah negara yang sangat tegas dan sukar untuk memberikan kerakyatan kepada mana-mana warga asing. Malah ratusan ribu lagi mereka yang telah dilahirkan di Malaysia dan telah tinggal di negara ini begitu lama tetapi masih belum diberikan kerakyatan.
“Jika sekalipun Tun mempunyai bukti sahih daripada sumber yang jelas bahawa terdapat sehingga 700,000 warga China akan diberikan kerakyatan Malaysia dalam masa terdekat, beliau boleh sahaja merujuk perkara tersebut kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini kerana Muhyiddin masih lagi seorang Ahli Parlimen dan boleh membawa usul tergempar mengenai perkara itu di Parlimen,” katanya.
The post Khaled ulang pendirian dakwaan Tun M berniat jahat, tak berasas appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan