Musa Hassan beri masa 14 hari kepada RPK
BANGI, 21 Rabiulawal 1438H, Rabu – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menuntut blogger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin atau RPK, memohon maaf dan menarik semula artikel yang mengaitkannya dalam Kes Liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Musa yang menafikan dakwaan RPK menerusi artikel yang disiarkan di portal berita, Malaysia Today berkata, beliau memberi masa selama 14 hari terhadap pengendali portal itu untuk menarik balik artikel berkenaan.
Malah beliau turut menafikan pembabitan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes itu.
“Saya memberinya 14 hari bermula hari ini untuk menarik balik artikel tersebut dan memohon maaf kerana memfitnah. Jika dia tidak berbuat demikian, saya akan membuat laporan polis dan fail saman terhadapnya.
“Blogging bukan bermakna kamu boleh menulis tuduhan palsu. Kebebasan bersuara tidak bermakna kamu boleh berbohong.
“Pada pendapat saya, ini adalah percubaan untuk memburuk-burukkan Tan Sri Abdul Gani Patail dan imej saya. Ia adalah fitnah kepada semua kakitangan kerajaan. Saya akan berbincang dengan peguam saya dan akan mendapatkan keadilan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Raja Petra dalam artikel bertajuk ‘Bagaimana Mukhriz akan menjadi Perdana Menteri’ yang disiarkan di portal itu, mendakwa Musa sebagai anjing peliharaan Tun Dr Mahathir menjadi perancang kes liwat bekas Anwar.
Dia mendakwa Dr Mahathir tidak berpuasa hati dengan pembebasan Anwar pada 2004, dan menggunakan Musa serta Gani untuk memastikan bekas pemimpin pembangkang itu disumbat semula ke penjara atas tuduhan meliwat.
RPK kini menjadi buruan dan dipercayai menetap di United Kingdom (UK).
The post Musa Hassan beri masa 14 hari kepada RPK appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan