Penerima anugerah Nobel kutuk tindakan Suu Kyi tidak pertahan nasib Rohingya
NEW YORK, 30 Rabiulawal 1438H, Jumaat – Penerima anugerah Nobel keamanan mengutuk keras tindakan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang tidak mempertahankan nasib minoriti Islam Rohingya yang ditindas di negara itu.
23 aktivis hak asasi manusia, termasuk penerima anugerah Nobel dan bekas pemimpin perniagaan dan politik berkata, Suu Kyi yang juga seorang penerima anugerah Nobel, gagal untuk memastikan hak asasi manusia umat Islam Rohingya terbela.
Dalam surat terbuka di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam, kumpulan itu mengecam Myanmar atas tindakan keras ketenteraannya ke atas umat Islam Rohingya hingga menyebabkan mereka hidup dalam kesusahan.
Penduduk Rohingya dibunuh, rumah mereka dibakar, wanita dan kanak-kanak dirogol bahkan sewenang-wenangnya tentera Mnyanmar menahan dan memaksa berpuluh-puluh ribu orang meninggalkan kediaman mereka.
Suu Kyi sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi berikutan wawancaranya dalam akhbar the Guardian pada Julai 2012 bahawa dia tidak mengetahui sekiranya etnik Rohingya boleh dianggap sebagai penduduk Myanmar.
Laporan ada menyebut hampir 100 orang terbunuh manakala lebih 300,000 penduduk Rohingya melarikan diri dalam keganasan terbaru. Ia merupakan yang terburuk sejak 2012 ketika ratusan penduduk Rohingya dibunuh.
Pertubuhan Human Rights Watch melaporkan gambar satelit menunjukkan perkampungan Rohingya turut dibakar. – Agensi
The post Penerima anugerah Nobel kutuk tindakan Suu Kyi tidak pertahan nasib Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan