Penutupan jalan selama sebulan di Lebuhraya SPRINT kerana pembinaan MRT
KUALA LUMPUR, 1 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Beberapa batang jalan di Lebuhraya SPRINT akan ditutup selama sebulan kerana pembinaan MRT bermula 1 Jan.
MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata lorong paling kiri di Lebuhraya SPRINT/Jalan Semantan akan ditutup selama 24 jam setiap bagi kerja-kerja mengecat, saliran air dan menyiapkan jalan.
“Penutupan sejauh 200 meter bermula selepas 10 Semantan hingga ke persimpangan Jalan Damansara Endah. Sepanjang penutupan, dua lorong akan dibuka untuk pengguna dari Kuala Lumpur menghala ke Petaling Jaya,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata penutupan sepenuhnya pada sebelah malam melibatkan Lebuhraya Sprint/Jalan Semantan (kedua-dua arah menghala Kuala Lumpur dan Petaling Jaya) akan dilakukan sekejap-sekejap dari KM7.4 hingga KM8.1 untuk kerja-kerja di Stesen Semantan.
“Penutupan itu bermula dari 10 malam hingga 5 pagi (Isnin hingga Jumaat) dan dari 12 tengah malam (Sabtu) hingga 12 tengah hari (Ahad),” kata kenyataan tersebut.
MMC Gamuda juga berkata lorong paling kanan dari Persimpangan Bertingkat Kiara ke Wisma Lensa (menghala Kuala Lumpur dan Petaling) akan terus ditutup.
Penutupan itu ialah bagi kerja-kerja “bearing” dan perumputan bermula dari 10 pagi hingga 4 petang, 10 malam hingga 6 pagi dan di luar waktu puncak setiap hari.
“Tiga lorong akan dibuka untuk pengguna menghala ke Kuala Lumpur dan dua lorong akan disediakan bagi pengguna menghala ke Petaling Jaya,” menurut kenyataan itu.
Penutupan jalan penuh pada sebelah malam juga akan berterusan di jejambat SPRINT berhampiran Pusat Bandar Damansara (menghala Petaling Jaya) bermula dari 10 malam hingga 6 pagi (Isnin hingga Jumaat) dan dari 12 tengah malam (Sabtu) sehingga 12 tengah hari (Ahad) untuk kerja-kerja di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara.
Selain itu, pengurusan trafik pada sebelah malam akan dilakukan di Lebuhraya SPRINT dan Jalan Ma’arof, bermula dari persimpangan Jalan Medang Serai ke Persimpangan Bertingkat Ma’arof menghala Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Penutupan itu ialah bagi kerja-kerja menyiapkan jalan, mengecat tiang, saliran dan stesen yang bermula dari 10 malam hingga 6 pagi.
Selain itu, dalam tempoh yang sama, lorong di sebelah Lebuhraya SPRINT (Plaza Tol Damansara) akan terus ditutup dari 10 malam sehingga 6 pagi untuk kerja-kerja pembinaan saliran dan bebendul jalan.
Sepanjang penutupan, satu lorong akan dibuka kepada pengguna dari Kuala Lumpur menghala ke Petaling Jaya dan dua lorong disediakan bagi pengguna di Jalan 16/11 menuju ke Petaling Jaya.
Dua lorong sepanjang 200 meter juga akan ditutup selepas Stesen Petronas Seksyen 16 di Lebuhraya SPRINT (menghala Kuala Lumpur) dengan penutupan dua lorong (Isnin hingga Jumaat, 12 tengah malam hingga 6 pagi) dan penutupan tiga lorong (Sabtu hingga Ahad, 12 tengah malam hingga 6 pagi).
Penutupan itu ialah bagi kerja-kerja menyiapkan jejantas menghubungkan Stesen Phileo Damansara dan penghantaran bahan serta “unloading” bagi
kerja-kerja di stesen.
MMC Gamuda juga mengumumkan penutupan penuh Lebuhraya SPRINT berhampiran Stesen Victoria bagi pemasangan gandar bermula dari 1 Jan sehingga 15 Jan dari 10 malam hingga 6 pagi. – Bernama
The post Penutupan jalan selama sebulan di Lebuhraya SPRINT kerana pembinaan MRT appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan