Tiga pesawat TUDM masih digantung
KUALA LUMPUR, 30 Rabiulawal 1438H, Jumaat –Tiga pesawat Beechcraft B-200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Subang, masih tidak dibenarkan beroperasi susulan nahas di Pangkalan Udara Butterworth, pada 21 Disember lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, penggantungan itu dibuat kerana siasatan punca nahas masih diadakan.
“Kita tunggu arahan (untuk beroperasi)…tengok dulu siasatan, kita akan maklumkan,” katanya selepas majlis perasmian sambutan Maulidur Rasul peringkat Kementerian Pertahanan di Masjid Khalid Al-Walid hari ini.
Nahas itu mengorbankan juruterbang Mejar C Kayamboo, 44, manakala Kapten Wai Lik, 26, Lt Hamid Hanafi, 26, dan Sarjan Udara Mohd Sofi Azizan, 29, cedera.
Ditanya keadaan anggota yang cedera, beliau berkata, Hamid dan Mohd Sofi sudah pulih sepenuhnya, manakala Wai Lik masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilaporkan stabil. -Bernama
The post Tiga pesawat TUDM masih digantung appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan