‘Biskut sembahyang orang Cina’ dikilangkan syarikat pemegang Sijil Halal
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 11 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hari ini menjelaskan ‘biskut sembahyang orang Cina’ yang menjadi viral di media sosial, didaftarkan dengan nama Iced Gem dan dikilangkan serta dikeluarkan oleh beberapa syarikat yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Berita mengenai biskut itu menjadi viral ekoran dakwaan menyebut kandungan biskut berkenaan adalah dari lelemak haiwan yang tidak halal.
Rata-rata pelayar media sosial mula menyebarkan berita tidak sahih itu dan mengundang keresahan dalam kalangan pengguna.
“Berdasarkan semakan pihak kami, biskut jenis ini didaftarkan dengan nama Iced Gem dan dikilangkan/dikeluarkan oleh beberapa syarikat yang merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia
“Kebanyakan pemborong akan menjualnya kembali dalam bentuk timbang/sukat dan paket-paket yang kecil (pembungkusan semula) dan ada di antaranya yang belum memohon pensijilan halal.
“Justeru, jadilah pengguna yang bijak dengan mengutamakan produk biskut yang mempunyai Sijil/Logo Pengesahan Halal Malaysia atau Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh Jakim,” kata Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal Jakim dalam satu kenyataannya, hari ini.
Susulan itu, Jakim mengalu-alukan pengguna untuk membuat semakan lanjut berkenaan produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh Jakim di www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar myJakim.
Manakala sekiranya masyarakat mempunyai sebarang kemusykilan dan penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular (viral) boleh melayari laman Facebook Bahagian Hab Halal, Jakim di http://ift.tt/2icWOhU
The post ‘Biskut sembahyang orang Cina’ dikilangkan syarikat pemegang Sijil Halal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan