Larangan perjalanan: Washington cabar perintah eksekutif Trump
LOS ANGELES, 2 Jamadilawal 1438H, Selasa – Pendakwa raya negeri Washington memfailkan saman mencabar perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang melarang pelawat dari tujuh negara Islam datang ke Amerika Syarikat (AS), sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Peguam Negara, Bob Ferguson memberitahu tiada siapa melebihi undang-undang, walaupun Presiden dan meminta supaya perintah eksekutif itu dibatalkan serta-merta.
“Di dalam mahkamah bukan suara kuat menang. Ianya adalah Perlembagaan,” katanya.
Saman itu, yang pertama dilakukan selepas Trump menandatangani perintah eksekutif berkenaan, menyasarkan Trump, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan pegawai tertinggi pentadbiran. Ia meminta supaya peruntukan bagi perintah eksekutif presiden diisytiharkan tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Hujah aduan ialah larangan perjalanan itu, yang menimbulkan kegelisahan di dalam dan luar negara, memisah dan merosakkan keluarga dan menjejaskan kepentingan kedaulatan Washington sebagai tempat kehadiran pendatang asing dan pelarian.
Jumaat lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif menangguhkan selama empat bulan kebenaran kemasukan kepada mana-mana pelarian dan pendatang asing ke AS.
Trump juga mengharamakan sementara pelancong dari Syria dan enam negara Islam lain iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman memasuki AS. – Agensi
The post Larangan perjalanan: Washington cabar perintah eksekutif Trump appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan