Lepasan SPM: Letakkan matlamat hidup sebelum pilih sesuatu bidang

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan dan Muamalah (FPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr Norziah Othman berkata, setiap pelajar lepasan sekolah perlu meletakkan matlamat yang jelas mengenai apa yang hendak dicapai dalam kehidupan sebelum memilih sesuatu bidang.

“Kenali potensi diri, minat dan apa yang mahu kita capai untuk memudahkan kita pilih sesuatu bidang itu. Kenali juga pasaran kerjaya kini bagaimana keadaannya, supaya mudah untuk mendapat pekerjaan selepas bergraduasi kemudian hari.

“Selain itu, pelajar juga perlu menggunakan masa yang terluang untuk asah bakat yang ada. Semasa dalam tempoh menunggu keputusan peperiksaan dan institut pengajian tinggi (IPT) ini, para pelajar boleh meluangkan masa untuk bekerja sementara waktu bagi menimba ilmu baru dan membina pengalaman sebagai salah satu persediaan di alam IPT,” katanya kepada Ismaweb, di Karnival Lepasan Sekolah (KLS) yang dianjurkan oleh Kelab Remaja Isma (KRIM) dan Persatuan Comm.Unity, semalam.

Karnival satu hari yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ini berjaya menarik kira-kira 200 orang peserta sekitar daerah sini.

KLS merupakan acara tahunan yang dijalankan di seluruh cawangan Isma seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan penyertaan hampir 4,000 orang keseluruhannya.

Dalam pada itu, Dr Norziah turut menyentuh isu pelajar daripada golongan susah atau kurang berkeupayaan untuk tidak berasa takut mengambil pinjaman sekiranya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini kerana, menurutnya, banyak pembiayaan pendidikan yang disediakan kini berkonsepkan pembiayaan pendidikan boleh ubah.

“Jangan takut untuk mengambil pinjaman kerana ianya boleh berubah menjadi biasiswa sekiranya pelajar mendapat keputusan cemerlang. Tiada alasan untuk seseorang itu tidak menjadi cemerlang dan mendapat keputusan memberangsangkan, ini kerana tugas seorang pelajar memang belajar.

“Kita nak ubah nasib keluarga kan, jangan mudah terpengaruh dengan ajakan kawan. Letakkan matlamat yang jelas supaya kita nampak arah tuju masa depan kita ke mana,” tegasnya.

Selain itu, buat ibu bapa pula, Dr Norziah turut memberi pesanan agar tidak meletakkan maksud berjaya itu kepada individu bergaji besar semata, walhal, konsep berjaya itu sendiri luas maknanya.

“Ibu bapa kena faham, berjaya bukan sahaja, jadi engineer, gaji banyak, rumah besar dan sebagainya. Ada juga yang kerja sebagai cleaner sahaja, tapi dia berjaya. Kenapa saya katakan dia berjaya? Kerana dia menyumbang kepada masyarakat, dia memperoleh rezeki yang halal. Jangan terlalu tekankan pada anak-anak bahawa berjaya itu mempunyai satu makna sahaja. Luaskan skop anda,” pesannya.

The post Lepasan SPM: Letakkan matlamat hidup sebelum pilih sesuatu bidang appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?