Tujuan FDI sekarang bukan pengilangan, pengeluaran tapi miliki tanah, aset

BANGI, 1 Jamadilawal 1438H, Isnin – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, perbincangan dan perbahasan mengenai pelaburan China atau mana-mana negara di Malaysia tidak bermakna kita antipelaburan atau anti-China.

Beliau berkata, Malaysia adalah antara negara bekas tanah jajahan yang paling awal dan agresif menggalakkan pelaburan asing bermula dengan industri gantian import pada pertengahan 1960-an serta negara terawal di Asia Tenggara dan Asean yang menjalin hubungan diplomatik dengan China.

Katanya, hanya orang jahil atau jahat sahaja yang cuba memperbodohkan orang lain dengan menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai antipelaburan dan anti-China.

“Sebaliknya, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri yang paling mesra pelaburan dan membawa masuk paling banyak pelaburan terus asing (foreign direct investment) atau FDI dalam kapasiti sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri,” katanya menulis dalam Sinar Harian.

Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu berkata, apa yang ditentang Dr Mahathir sekarang ialah pemesongan aplikasi FDI, kerana FDI adalah pelaburan terus oleh pemodal luar dalam kegiatan pengilangan, pengeluaran dan perkhidmatan.

“Tetapi sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, FDI bukan lagi untuk tujuan pengilangan, pengeluaran dan perkhidmatan. Pelabur asing, khususnya syarikat milik kerajaan China, dibenarkan membeli tanah dan harta strategik milik negara.

“Hal ini berlaku serentak dengan pendedahan skandal 1MDB yang menyebabkan negara dan rakyat jelata menanggung hutang RM50 bilion pada awal tahun lalu. Ini menyebabkan timbul dakwaan bahawa penjualan tanah dan aset strategik kepada China serta pemberian kontrak raksasa kepadanya adalah untuk mencari wang bagi membayar balik hutang 1MDB,” katanya.

A Kadir berkata, sehingga ini, kerajaan Malaysia telah menjual atau merestui penjualan penjana elektrik bebas (PPP), tanah Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, tanah di Wilayah Iskandar, Johor dan memberi kontrak pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur kepada syarikat milik kerajaan China.

“Tanah yang dijualkan kepada syarikat China itu diberi status hak milik tetap (freehold) sedangkan dasar yang diamalkan sekarang menjuruskan ke arah pemilikan pajak (leasehold) selama 99 tahun.

“Syarikat-syarikat China itu pula diberikan layanan istimewa carte blanc bagi membolehkan mereka menjual kediaman dan premis perniagaan yang mereka bina itu kepada orang asing, khususnya dari benua China,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu faham dasar dan falsafah China sejak dahulu lagi ialah orang keturunan Cina, tidak kira warga negara mana atau tinggal di mana, adalah warganegara China.

“Adalah menjadi dasar China membeli dan menyewa ladang yang sangat luas di seluruh dunia dalam usaha menjamin bekalan makanan untuk rakyat jelatanya dan menguasai pasaran bahan makanan dunia.

“Dalam memenuhi keperluan FDI janganlah sampai menjual dan menggadai tanah serta aset strategik dan membenarkan orang asing tinggal di Malaysia sesuka hati. Itulah kebimbangan dan amaran yang disuarakan oleh Dr Mahathir dan banyak pihak lain yang tidak mahu maruah dan kedaulatan negara tergadai semata-mata kerana wang dan kekayaan,” katanya.

The post Tujuan FDI sekarang bukan pengilangan, pengeluaran tapi miliki tanah, aset appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?