Asalnya minat, Norzafry tak sangka boleh naik podium kejohanan basikal Bintulu

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 1 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Walaupun pada awalnya hanya sekadar minat berbasikal dan menjadikannya hobi di masa lapang, namun Norzafry Norhalim tidak menyangka dirinya mampu meraih tempat ketiga dalam perlumbaan ‘Bintulu Mountain Bike Challenge 2017’ Ahad lalu.

Jurutera mekanikal di sebuah syarikat minyak dan gas di Sibu, Sarawak itu memberitahu, minatnya dalam sukan berbasikal ini bermula sejak 2014.

Beliau berkata, tujuan asalnya adalah untuk menjaga kesihatan, justeru beliau memilih untuk berbasikal ke tempat kerja yang jaraknya enam kilometer dari rumah setiap hari.

Hasil galakan daripada keluarga dan rakan-rakan dalam kumpulan sukan I-Fitness, aktiviti berbasikal kini sudah menjadi rutin harian sehingga mendorong dirinya menyertai perlumbaan anjuran BDA Pejabat Rediden Bahagian Bintulu dan DNA Sports baru-baru ini yang mendapat liputan media tempatan.

Dengan catatan masa 48 minit 50 saat, Norzafry yang juga aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan ahli I-Fitness berkata, sepanjang perlumbaan beliau menghadapi kesukaran apabila litar yang basah, licin dan berbukit.

“Dari aspek cabaran mental ini pertama kali saya menyertai perlumbaan mountain bike. Saya kena kuat semangat lebih-lebih lagi bersaing dengan pelumba yang lebih berpengalaman.

“Sukan berbasikal ini perlukan kekuatan fizikal seluruh badan dan juga kekuatan mental. Apabila tenaga dah habis, hanya kekuatan mental yang akan mampu membawa kita ke garisan penamat.

“Jadi paling penting kita perlu berani mencuba, buat sehabis baik dan jangan putus asa.

“Semasa perlumbaan ada beberapa kali saya terjatuh dan menyebabkan basikal juga sedikit rosak, tapi saya terus bangun semula dan teruskan perlumbaan selagi boleh.

“Erti kekalahan adalah bukannya apabila kita gagal dapat tempat pertama, kedua dan ketiga, tapi sebenarnya apabila kita berputus asa dan berhenti mencuba,” katanya.

Beliau yang gemar beriadah di waktu lapang berkata, untuk sukan seperti seseorang itu perlu juga menjaga pemakanan.

“Pilih makanan ikut keperluan bukan semata-mata ikut nafsu. Cari ruang masa yang ada walaupun sedikit untuk berlatih.

“Jangan malu untuk belajar dan tanya daripada kawan-kawan yang lebih berpengalaman,” pesannya.

The post Asalnya minat, Norzafry tak sangka boleh naik podium kejohanan basikal Bintulu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?