Beri sokongan kumpulan Daesh, lelaki dipenjara empat tahun

KUALA LUMPUR, 1 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Seorang kakitangan penyelenggara bilik dandang dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memberi sokongan dan memiliki bahan-bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Roshelmyzan Husain, 33, selepas bapa dua anak itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh, Roshelmyzan dihukum penjara empat tahun manakala bagi pertuduhan memiliki bahan-bahan berkaitan kumpulan pengganas pula, dia dihukum penjara dua tahun. Azman memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap 29 Jun 2016.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, walaupun mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah dan penyesalan tertuduh, namun hukuman perlu menggambarkan ketegasan mahkamah supaya kesalahan itu tidak diulangi orang lain.

“Kamu mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga, kamu tidak sepatutnya memberi perhatian kepada perkara-perkara tidak berfaedah (Daesh). Teknologi berkembang, ia memudahkan pihak berkuasa mengesan perbuatan seseorang individu dan ramai orang tidak menyedari perkara ini,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Syahredzan Johan dan Louis Liow memohon hukuman sewajarnya dengan alasan ia adalah kesalahan pertama tertuduh dan dia juga insaf serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor memohon hukuman berat mengambil kira faktor kepentingan awam dan keseriusan kesalahan supaya ia tidak berlaku lagi.

Roshelmyzan mengaku memberi sokongan kepada kumpulan Daesh melalui aplikasi telegram dalam Kumpulan Perbualan ‘Gagak Hitam’ dalam telefon bimbitnya, di Telok Kapas, Rantau Panjang, Klang, pukul 7.57 pagi, pada 30 Mac 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun, atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan  bagi melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua, dia memiliki bahan-bahan berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan Daesh iaitu sebuah video dan sekeping gambar dalam telefon bimbitnya, di Bangunan Sime Darby Plantations Sdn Bhd, Nuri Refinery, Lebuh Sultan Muhamed 1, Kawasan Perusahaan PKNS Fasa 2, Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, pukul 2.10 petang, pada 29 Jun 2016.

Dia didakwa di bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan. – Bernama

The post Beri sokongan kumpulan Daesh, lelaki dipenjara empat tahun appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?