Dua syarikat punyai kaitan dengan agensi ‘risikan’ Korea Utara dibatalkan pendaftaran
KUALA LUMPUR, 1 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Dua syarikat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi risikan Korea Utara sedang dalam proses dibatalkan pendaftarannya, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Dua syarikat itu ialah International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd yang dilapor mempunyai kaitan dengan Glocom – syarikat yang digerakkan oleh agen risikan Korea Utara yang beralamat di Brickfields, Kuala Lumpur.
Katanya, sumber laporan itu sendiri telah mengukuhkan kenyataan bahawa tiada syarikat bernama Glocom wujud di Malaysia.
“Bagaimanapun, ia menyebut bahawa laman web Glocom.my didaftarkan pada 2009 oleh entiti dikenali sebagai International Global Services.
“Syarikat yang namanya hampir sama International Golden Services, disenaraikan untuk tujuan perhubungan di laman web itu,” katanya.
Menurut laporan badan dunia yang disediakan untuk Majlis Keselamatan dan dilihat oleh Reuters, Galcom dikendalikan oleh ejen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan radio perang yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Agensi berita itu mendapati, Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi “tentera dan separa tentera” di laman web di Malaysia, glocom.com.my.
Laporan itu turut mengatakan bahawa Glocom dikawal oleh agensi risikan Korea Utara, Reconnaissance General Bureau yang ditugaskan untuk operasi luar dan perolehan senjata.
The post Dua syarikat punyai kaitan dengan agensi ‘risikan’ Korea Utara dibatalkan pendaftaran appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan