I-Medik sokong program kaunseling untuk pegawai perubatan

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 18 Jamadilawal 1438H, Rabu – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menyambut baik langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menawarkan program kaunseling kepada pegawai perubatan siswazah (PPS).

Pengerusi Biro Pegawai Perubatan siswazah dan Pegawai Perubatan (MOHSEN), Dr Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi berkata, langkah itu penting dalam menangani tekanan kerja yang dikenal pasti salah satu punca kepada kadar peningkatan pegawai perubatan diberhentikan.

Memandang serius kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa sebelum ini, beliau berkata, kegagalan hadir menjalankan tugas untuk tempoh masa lama sehingga melebihi 400 hari, dipercayai berpunca kerana tidak dapat menerima tekanan kerja.

Beliau berpendapat, langkah kaunseling yang disyorkan oleh KKM sebagai usaha tepat membina semula jati diri doktor muda sehingga mampu melahirkan penjawat awam yang berintegriti dan berwibawa.

“Tidak dinafikan antara sebab ketidakhadiran kerja sesetengah PPS adalah disebabkan hilang minat menjadi doktor setelah mula bertugas ataupun masalah kesihatan fizikal atau mental semasa bekerja.

“Tidak kurang juga yang sedari awal lagi, tidak berminat dalam kerjaya perubatan, akan tetapi diberi tekanan oleh ibu bapa atau keluarga untuk mengambil jurusan tersebut.

“Ini mungkin kerana kurang pendedahan mereka tentang bidang kerja sebagai seorang pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ali Hamsa mendedahkan bahawa sektor perubatan mencatatkan kadar kehilangan pekerja tertinggi di Malaysia membabitkan ramai pegawai perubatan dan doktor pelatih yang diberhentikan kerana tidak bertugas sehingga lebih 400 hari.

Serentak itu, Dr Mohamed Hatta berkata, sebagai pertubuhan perubatan bukan kerajaan, I-Medik menyediakan pelbagai program khas untuk pelajar dan graduan perubatan serta PPS.

“…. seperti kursus persediaan pegawai perubatan siswazah yang baru-baru ini diadakan buat kali ke-5 oleh I-Medik Selangor.

“Kursus ini turut diadakan di I-Medik cawangan negeri-negeri lain seperti di Sabah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah. I-Medik bekerjasama dengan universiti-universiti seperti USIM, IMU dan UITM dalam menjayakan latihan ini,” katanya.

Malah katanya, MOHSEN juga mengadakan beberapa program motivasi untuk pegawai perubatan siswazah sejak 2013, dalam langkah untuk membantu menangani tekanan kerja dan prospektif kerjaya.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa tekanan kerja wujud dalam semua bidang kerjaya, lebih-lebih lagi mereka yang bekerja dalam sektor perubatan seperti para doktor dan jururawat,” katanya.

The post I-Medik sokong program kaunseling untuk pegawai perubatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian