Jamal serah surat peletakan jawatan kepada Noh Omar
BANGI, 11 Jamadilawal 1438H, Rabu – Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen itu kepada Tan Sri Noh Omar.
Difahamkan, surat berkenaan diserahkan sendiri oleh Jamal di pejabat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu.
Menerusi surat rasmi bertarikh 7 Februari itu, Jamal berkata, tindakannya adalah untuk menjaga nama baik parti, susulan penangkapannya selama lima hari pada 2 Februari lalu ekoran didakwa terlibat dengan kejadian samun berkumpulan.
“Sepertimana yang Tan Sri sedia maklum, bahawa saya telah ditangkap oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dengan kejadian samun berkumpulan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
‘Hasil dari tangkapan tersebut, saya telah dikenakan reman selama 5 hari mulai dari 2 Februari 2017 hingga 6 Februari 2017 dan ditahan di lokap di IPD Shah Alam.
“Kes tersebut telah menjadi tajuk utama beberapa akhbar tempatan, media elektronik dan media sosial. Saya percaya kes ini telah menjejaskan nama baik parti dan kepimpinan tertinggi parti khasnya di Selangor,” katanya.
Katanya lagi, beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian itu dan berhasrat meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO dan Pengerusi BN Bahagian Sungai Besar.
“Akhir kata saya akan patuh dengan apa jua keputusan yang akan dibuat oleh pucuk kepimpinan parti,” katanya.
Jamal sebelum ini ditahan di kediamannya selepas bersama beberapa yang lain ‘menyerbu’ premis yang menjalankan kegiatan judi di Ampang, Selangor.
The post Jamal serah surat peletakan jawatan kepada Noh Omar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan